Saturday, April 10, 2010

Pengajian Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini

Semalam (Jumaat malam Sabtu 9 april 2010 bersamaan 24 Rabi'ul Akhir 1431 h) al-faqir,Baba Adnan dan kawan-kawan sempat menghadiri pengajian kitab al-Awail as-Sunbuliyyah bersama al-Muhaddis Misr Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini Hafizhohullahu ta'ala, di masjid ayahandanya di Iskandariyyah. Pengajian diadakan sejurus selepas majlis zikir, yang pada malam sabtu kebiasaannya beliau mengadakan majlis zikir bersama ikhwan tariqatnya yang di pimpin oleh beliau sendiri. Insyaallah pengajian kitab ini akan berterusan sampai minggu hadapan.


Pengenalan Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.

anak kepada penyusun kitab al-Awail as-Sunbuliyyah (Syeikh Muhammad Tahir as-Sunbul)

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah :

- anak beliau sendiri, Muhammad Tahir as-Sunbul (1218H)
- Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (1194H)
- Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (1182H)
- Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (1192H)
- Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (1205H)
- Muhammad al-Murtadha al-Zabidi (1205H) dan lain-lain lagi.

Latarbelakang Kitab

Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Imam Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain.

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut; Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah.


manuskrip kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

No comments: