Wednesday, November 25, 2009

Petua Menyembelih Binatang

Di antara petua-petua menyembelih binatang :

1. Supaya daging tidak berlemak:
- Ada wudhu’ ketika sembelih binatang.
- Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
- Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
- Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.

2. Supaya daging binatang menjadi lembut :
- Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang.
- Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau.
- Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan.

3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk :

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحَمْدُ

اللّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ

4. Selesai sembelih binatang maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.

5. Baca ayat ini supaya mencukup atau memadai daging bagi setiap jamuan :

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

6.Hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.

7. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati.

*Di antara pantang larang :
Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya
boleh membawa kepada daging menjadi keras.

*Petua ini diamalkan oleh Tuan Guru Hj Hashim Mudir Pondok Pasir Tumboh*

Tuan Guru Hj Hashim Hafizhohullah

keadaan Ayah Sin (Tok Guru Hj.Hashim) sekarang.
al-Fatihah kepada Tuan Guru Hj.Hashim semoga Allah Taala memanjangkan umur beliau.


p/s : jangan lupa pula adab-adab dan syarat-syarat yang telah di tetapkan oleh syara'.

Di ambil daripada laman ini : http://albakriah.wordpress.com/2009/11/24/petua-sembelih-binatang/

Friday, July 24, 2009

Ziarah Sidi Ibrahim ad-Dusuki R.anhu

Tanggal 1 Julai lalu, para pencinta Syeikh Soleh Jaafari r.anhu bersama abna' Malaysia mengadakan lawatan dan menziarahi maqam wali qutub yang agung, Sayyidi Ibrahim Dusuqi r.anhu. Jaulah yang melibatkan dua muhafazah iaitu Kafr Syeikh dan Iskandariah itu diadakan selama sehari suntuk dengan dimulai dengan maqam Sayyidi Ibrahim Dusuqi. Masjid dan maqam beliau yang terletak di bandar Dasuq, muhafazah Kafr Syeikh itu memakan masa hampir tiga jam dari Kaherah. Perjalanan dengan tremco ke muhafazah tersebut tidak sunyi dengan bacaan madih dan pujian terhadap Rasulullah s.a.w. Setibanya kami di masjid beliau yang mulia, bacaan madih dan selawat sekali lagi bergema di maqam beliau. Bersebelahan maqam beliau bersemadinya jasad saudaranya. Rangka tulang buaya yang terlibat dengan peristiwa masyhur yang dikaitkan dengan Sayyidi Ibrahim Dusuqi masih disimpan berhampiran maqamnya. Ceritanya satu hari seorang kanak-kanak ditelan buaya ketika bermain-main di sungai. Lalu ibu kanak-kanak tadi mengadu kejadian tersebut kepada Sayyidi Ibrahim lalu beliau bergegas ke sungai dan memerintahkan supaya buaya yang memakan kanak-kanak tadi supaya timbul. Dengan izin Allah, buaya tadi timbul lalu Sayyidi Ibrahim minta buaya tadi mengeluarkan kanak-kanak tadi dari perutnya. Buaya tadi dengan kuasa Allah menurut perintah lalu selepas dikeluarkan mayat kanak-kanak tadi Sayyidi Ibrahim berkata, "Sekarang matilah kamu wahai buaya dengan izin Allah," Lalu buaya tadi pun mati. Tulang buaya tadi masih selamat tersimpan dalam maqam tersebut. Sayyidi Ibrahim dilahirkan pada tahun 653 hijrah dan meninggal dunia ketika berusia 43 tahun pada tahun 696 hijrah. Beliau juga dikatakan wali Allah yang meninggal dunia dalam keadaan sujud dalam solat.

Berhampiran maqam kedua-dua wali tersebut terdapat kesan tapak tangan mulia Baginda Rasulullah s.a.w. Kami turut membacakan qasidah "Marhaban Haza Nabi" sambil mereka yang hadir mengucup mengambil berkat pada kesan tapak tangan tersebut.

Lawatan kami ke berakhir dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustaz Khairil Anuar Saleh yang turut menyertai jaulah pada hari itu. Bacaan doa diaminkan oleh kami di hadapan kesan tapak tangan tersebut mengambil pandangan dari para ulamak yang menyebut mustajab doa di sisi tempat mempunyai kesan peninggalan Rasulullah s.a.w. Sebelum ini jaulah kami ke Masjid Sultan Qaitbai di Kaherah juga ketika menziarahi kesan dua tapak kaki mulia Baginda Rasulullah s.a.w di masjid tersebut.

Jaulah kami pada hari itu agak istimewa dengan pergerakan kami dikawal oleh anggota polis dari cawangan Dasuq. Mereka turut mengiringi kenderaan kami sewaktu perjalanan keluar dari bandar Dasuq menuju ke bandar Iskandariah bagi meneruskan ziarah kami ke maqam auliya' seterusnya.

Di hadapan pintu masuk Masjid Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki R.anhu


ruang solat utama Masjid Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki


di sisi Makam Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki


di sisi Makam Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki terdapatnya bekas tapak tangan Rasulullah Sollahu 'Alahi Wasallam yang mulia

Sunday, June 28, 2009

Sekalung Al-Fatihah buat guruku .....

Seorang ulama besar Patani yg dikenali dengan Tuan Guru Mat Sedawa atau Baba Mat Sedawa telah kembali ke Rahmatullah pada malam tadi iaitu malam Jumaat, 4 Rejab 1430 Hijrah bersamaan 26 Jun 2009. Baba Mat Sedawa merupakan tenaga pengajar di atas Jabal Ajyad berdekatan dengan Masjidil Haram. Kebanyakan pelajar yg pernah belajar di Bukit Ajyad, Mekah sudah tentu mengenali beliau.

Sumber dari Mekah melaporkan beliau meninggal dalam keadaan yg amat baik. Bahkan pada pagi hari Khamis, beliau masih lagi mengajar dan menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya. Jenazah mulia Baba Mat Sedawa telah disolatkan selepas solat Jumaat tadi. Betapa beruntungnya beliau. Sesungguhnya Allah telah memilih beliau untuk kembali menemuiNya di tempat yg mulia iaitu di Tanah Suci Mekah, pada malam Jumaat yg mulia dan pada bulan Rejab yg mulia iaitu salah satu daripada 4 bulan haram.Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau. Mudah-mudahan ruh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan syuhada'. . Amiiinnn...

Sumber dari( www.lamanulama.blogspot.com )



Babo Mat Sedawa


di rumah Babo Mat Sedawa pada Hari Raya Aidilfitri 2oo8


al-Fatihah kepada Babo Mat Sedawa, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di tempatkan bersama para Anbiya', Auliya' dan Solihin.

Saturday, June 6, 2009

Dari Allah Dia Datang Kepada Allah Dia Kembali

Setiap insan yang hidup pasti akan merasai mati. Itulah asam garam kehidupan.Walaupun ada di kalangan manusia yang takut mati, namun mati tetap akan menemuinya.Oleh itu bersiap sedialah kita dari sekarang. Setiap saat seruan kubur memanggil kita, namun sebahagian kecil sahaja dari golongan manusia yang mengendahkannya, yang lainnya seolah-olah langsung tidak endah. Hisablah diri kita sebelum terlambat, jangan sampai kita menyesal di kemudaian hari.

Jumaat 13 Jamidil Akhir 1430 H bersamaan 5 Jun 2009 M hari yang pasti tidak akan di lupakan oleh pencinta ilmu Allah terutamanya penuntut ilmu di Bukit Ajyad (Makkah al-Mukarramah), perginya seorang ulama yang agung iaitu al-'Allamah al-Muhaddith Syeikh Husain al-Siraji yang di kenali dengan panggilan Babo Sin Surat. Babo Sin yang sekian lama telah berkhidmat mencurahkan ilmu kepada pelajar-pelajar di Bumi Makkah al-Mukarramah, akhirnya kembali ke rahmutullah pada pagi jumaat, di kediamannya 'Aziziyah, Makkah al-Mukarramah.
Beliau merupakan seorang ulama' yang telah banyak mewaqafkan diri ke jalan Allah semenjak usia muda lagi. al-Fatihah .....


Gambar Kenangan Syeikh Husain al-Siraji Rahmatullah 'Alaihi


Syeikh Husain al-Siraji (Babo Sin )


dari kiri Babo Soh Paku, Babo Mat Sedawa dan Babo Sin


mesranya Babo Mat dan Babo Sin


Babo Sin di pagi raya


al-Faqir sempat menziarahi Babo Sin sewaktu mengerjakan Umrah bulan Ramadhan 09

al-Fatihah kepada Syeikh Husain al-Siraji, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di tempatkan bersama para Anbiya', Auliya' dan Solihin.

Thursday, May 21, 2009

Seminggu Sudah Berlalu ....

Segala puji bagi Allah Ta'ala yang tidak terhingga atas nikmat dan kurniaanNya kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya. Manusia dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana yang telah digariskan dalam al-Quran. Betapa besarnya nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada sebaik-baik ciptaan, namun hanya segolongan kecil sahaja yang menghargai nikmat yang tidak seberapa ini berbanding dengan nikmat yang terlebih besar lagi iaitu nikmat Iman dan Islam.

Sedar tak sedar sudah hampir seminggu al-Faqir mengikuti kelas pengajian Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani (mantan Mufti Kanada). Inilah nikmat yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah kepada al-Faqir, dengan kesihatan dan masa yang dianugerahakan oleh Allah tidak disia-siakan, walaupun sibuk dengan imtihan dan pengajian-pengajian yang lain. Namun kalau kita pandai mengurus masa dengan baik, insyaallah setiap perkara yang hendak kita lakukan akan mengikut jadual yang telah disusunkan. Apa yang terlebih penting, biaralah setiap urusan yang hendak kita lakukan diredhai oleh Allah Ta'ala. Sebab itulah kita perlu sertainya dengan berdoa ke HadratNya, sebagaimana doa yang terdapat dalam Aurad at-Tariqah al-Ja'fariyyah bagi Syeikh Soleh Ja'fari Radiallahuanhu (pengasas Tariqat al-Ja;fariyyah) :

اللهم دبر لي فاني لا أحسن التدبير

maksudnya : Ya Allah Uruskanlah urusanku, maka sesungguhnya aku tidak pandai mengurus.

Pengajian yang telah diadakan oleh Syeikh Yusof benar-benar menyentuh perasaan al-Faqir. Sebelum ini al-Faqir hanya mendengar saja nama Syeikh Yusof, tidak pernah mengikuti sepenuhnya kelas yang diadakan oleh beliau. Kali ini memang terasa ingin mengenali Syeikh Yusof secara dekat. Kata-katanya bagaikan seorang ayah mendidik anak. Setiap kali sebelum beliau mula mengajar, beliau akan memberi nasihat kepada anak-anak didiknya.

Di sini al-Faqir memperkenalkan kepada sidang pembaca yang budiman tentang biodata Shaikhuna Syeikh Yusof al-Hasani hafizohullah.


NAMA:
Sheikh As-Syarif Dr. Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani. Beliau berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a., kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.

KELAHIRAN DAN KEHIDUPAN BELIAU:
Beliau dilahirkan di Aka, Lubnan. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN BELIAU:
Pada awalnya, beliau menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun.

Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wal Qonun dan tamat pada tahun 1989. Seterusnya, beliau dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kerhormat daripada Universiti Islam Lubnan pada tahun 1991.

ANTARA GURU-GURU BELIAU:
Beliau mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Sheikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah.

Sidi Sheikh Abdul Qadir Isa r.a

Setelah dilihat kelayakan Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, dalam memikul tugas sebagai mursyid, maka Sidi Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepada beliau. Sheikh Yusuf merupakan khalifah Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau.

Sheikh Muhammad Al-Hasyimi Radiallahu 'Anhu

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Sheikh Muhammad Al-Hasyimi. Sheikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani r.a..

Sheikhuna Yusuf Al-Hasani bersahabat dengan Sheikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Sheikh Abdul Qadir Isa r.a., Sheikhuna Yusuf juga turut mencari mursyid lain sebagai tabarruk dan merasakan diri masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid.

Sheikh Sa'duddin Murod (tengah)

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Sheikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Sheikh Sa'duddin Murod turut memberikan kepada Shiekh Yusuf Al-Hasani izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah.
Bukan sekadar itu sahaja, malah Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Sheikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Sheikh Abdul Qadir As-Saggaf lantas memberi kepada Sheikhuna Yusuf Al-Hasani, izin irsyad tarikat As-Syazuliyah, kerana melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Yusuf.

Sheikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf

Di samping itu juga, Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan lantaran itu, turut menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut.
Antara mursyid-mursyid tersebut adalah:
1.Sheikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga)
2.Sheikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah)
3.Sheikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah)
4.Sheikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah)
5.Sheikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah)

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadis-hadis musalsal dan sanad-sanad hadis dan ilmu agama secara umum dari Sheikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim.


AKTIVITI-AKTIVITI BELIAU:

- Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada pada tahun 1981 sehingga hari ini.
- Pensyarah di Universiti Islam Lubnan
- Ahli Jawatan Kuasa Majlis Fatwa Lubnan
- Anggota Majlis Ulama' di Syria
- Seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan Asia Tenggara)
- Mursyid atau Sheikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada
- Murobbi Tasauf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya.
- Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir.
-Penasihat Kehormat Institut Pngajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia.

al-Fatihah buat Shaikhuna Syeikh Yusof al-Hasani, semoga Allah Ta'ala memeliharaya.


bersama Syeikh yusof di Ma'rad Kitab

Friday, May 8, 2009

Taman Orang-orang Soleh


Bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :
"Sesungguhnya para Nabi-nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar(wang emas) dan dirham(wang perak), tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barangsiapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna"
(riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah)

Setelah sebulan lebih mengikuti Kelas Tafaqquh bersama al-'Alim al-'Allamah Syeikh Mahmud Said Mamduh Hafizhohullah, di Rumah Kedah Baru, Hayyu Sabie', telah banyak ilmu yang telah dicurahkan oleh beliau, cuma tinggal lagi amal sahaja. Inilah perkara yang menyebabkan al-faqir susah hendak mengamalkannya. Oleh kerana itu, marilah sama-sama berdoa ke hadrat Allah Taa'la agar diberi peluang oleh Allah untuk mengamalkannya walaupun sedikit tetapi istiqamah.
Amin Ya Rabbal 'Alamin ....



Antara pesanan Syeikh Mahmud supaya kita sebagai Tullabul 'Ilmi menghafaz hadis di bawah ini ( dipetik dari Kitab Riadhus Solihin ) :


وعن أبي مالك الحارث بن عاصم الأشعري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه
وسلم : "الطهور شطر الإيمان، والحمد لله تملأ الميزان، وسبحان الله والحمد لله تملآن -أو تملأ- ما
بين السماوات والأرض، والصلاة نور، والصدقة برهان، والصبر ضياء، والقرآن حجة لك أوعليك, كل الناس يغدو، فبائع نفسه فمعتقها، أو موبقها". رواه مسلم


Dari Abu Malik al-Harits bin Ashim al-Asy'ari r.a. sabda Rasulullah Sollahu 'Alaihi Wasallam :

"Bersuci adalah separuh keimanan dan Alhamdulillah itu memenuhi timbangan,
Subhanallah dan Alhamdulillah itu dapat memenuhi atau mengisi penuh apa-apa yang ada
di antara langit-langit dan bumi. Shalat adalah Nur (cahaya), sedekah adalah sebagai tanda -
keimanan bagi yang memberikannya, sabar adalah Dhia'(cahaya), al-Quran adalah
merupakan hujjah untuk kebahagiaanmu - jikalau mengikuti perintah-perintahnya dan
menjauhi larangan-larangannya - dan dapat pula sebagai hujjah atas kemalanganmu - jikalau
tidak mengikuti perintah-perintahnya dan suka melanggar larangan-larangannya. Setiap
orang itu berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya - kepada Allah - bererti ia
memerdekakan dirinya sendiri - dari siksa Allah Ta'ala itu - dan ada yang merosakkan
dirinya sendiri pula - kerana tidak menginginkan keredhaan Allah Ta'ala."
(Riwayat Muslim)

Keterangan :

1. Bersuci samada suci hissiyyah atau ma'nawiyyah.
2. Dalam hadis ini digunakan kalimah Alhamdulillah. Kalimah Alhamdulillah merupakan sebesar-besar Shighah (lafaz).
3. Huruf "wau" dalam hadis di atas ialah "wau" istiknaf (permulaan ayat).
4. Perbezaan di antara nur dan dhia' :
- Nur bermaksud cahaya yang diambil dari benda lain, seperti cahaya lampu.
- Dhia' bermaksud cahaya yang di perolehi dari dirinya sendiri, seperti cahaya matahari.


Monday, May 4, 2009

Kenangan Maulid (Shoghir) Sidi Ahmadi al-Badawi Radiaallahuanhu dan Maulid Syeikh Khalil Khotib R.A



Di rumah Doktor Judah al-Mahdi Abu Yazid Hafizohullahu sempena Maulid Sidi Ahmadi Badawi Radiaallahuanhu.


bersama Munshid Sidi Khalil Khatib (3 dari kiri) sempena Maulid Sidi Khalil Khatib di Masjid beliau, Muhafzah, Tanta.


Tahun ini al-Faqir di beri kesempatan oleh Allah Taa'la menghadiri Maulid Soghir Sidi Ahmadi al-Badawi Radiallahuanhu yang diadakan pada hari Khamis (30/4/09). Dikatakan oleh kawan al-Faqir iaitu Syeikh Wahbah (merupakan keturunan Sidi Ahmadi Badawi), bahawasanya Maulid Sidi Ahmadi Badawi di sambut dua kali dalam setahun. Di namakan ia Maulid Soghir(kecil) dan Maulid Kabir(besar).

Sejarah ringkas Sidi Ahmadi Badawi Radiaallahuanhu :

Beliau dilahirkan di Bandar Fas Maghribi pada 585H. Nenek moyang beliau berasal dari Mekah. Mereka berhijrah ke Maghribi pada zaman al-Hajjaj ketika itu banyak membunuh ahli bait. Ayah beliau meninggal dunia di Mekkah [ada tahun 627H. Sidi Ahmad Badawi adalah yang paling berani ketika kecilnya. Beliau menghafaz Al-Quran dan di ajar ilmu dalam mazhab Syafie.

Pada bulan syawal 633h, beliau telah bermimpi seseorang berkata dalam mimpinya sebanyak 3 kali: “bagunlah dan pergi kearah matahari terbit. Maka setelah sampai di sana pergi pula kearah matahari terbenam, setelah engkau sampai, maka berjalanlah ke suatu tempat yang bernama Tanta. Maka sesungguhnya maqam engkau di situ wahai pemuda”

Apabila sampai di Tanta, beliau bertemu dengan Syeikh Ibnu Syuhaith. Beliau menaiki bumbung rumah syeikhnya itu, sepanjang hari beliau memandang ke langit selama 40 hari tanpa makan dan minum sehingga matanya bengkak dan mata hitamnya merah menyala seperti bara api. Abdul `Aali adalah budak kecil yang membantunya ketika itu dengan menghulurkan padanya sebiji telur.

Qutub yang agung ini amat masyhur dengan sifat tawadu`, siqah, zuhud keduniaan dan sifat-sifat mahmudah. Keturunannya Sidi Ahmad al-Badawi bin Ali bin Ibrahim bin Mohamad bin Abu Bakr dan bersambung dengan Zainal Abidin bin Imam Husin r.a, cucu kepada Rasulullah S.A.W, Allah telah menjemputnya ke alam barzakh pada umur 89 tahun 22 Rabi`ul Awal tahun 675H.
al-Fatihah ....


Pada malam yang sama turut diadakan Haflah Maulid Syeikh Khalil Khatib (Sya'ir ar-Rasul) di masjid beliau, Tanta.


Sejarah ringkas Syeikh Khalil Khotib Radiallahu 'Anhu :



SYEIKH MUHAMMAD KHALIL KHOTIB AN-NAIDI AS-SYAZALI
(1909-1986)

Pengasas Tariqah Al-Khotibiyah As-Sayzliyah al-Khalwatiyah di Tanta, Mesir

As-Syeikh Muhammad Khalil Al-Khotib adalah salah seorang ulamak besar al-Azhar bermazhab Hanafi yang mendapat pengiktirafan sebagai " Penyair Rasulullah" di abad ke 19 ini .Beliau merupakan Khalifah tariqat daripada dua madrasah sufi di zamannya iaitu 'Madrasah Tariqat Khalwatiyah dan Madrasah Tariqah As-Syazliyah .

PENGENALAN



Beliau adalah As-Syeikh Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Isma'il bin Ahmad Al-Khatib yang bersambung nasabnya dengan Sayyidina Hussin

KELAHIRAN
Beliau di lahirkan di sebuah desa padang pasir yang bernama 'Nida' sebuah perkampungan di mukim/markaz 'Akhmin' jajahan Suhaaj di selatan Mesir pada 9hb Mac 1909 m ( 1330H) .

PENDIDIKAN
Dari kecil beliau sudah menghafaz al-quran sekitar umur 7 tahun dan terus melanjutkan pelajaran di Madrasah Asyut sehingga mendapat Sijil Menengah Rendah pada tahun 1923 , seterusnya memperolehi Sijil Menengah Thanawi Al-Azhar pada tahun 1928 dan Ijazah sarjana muda pada tahun 1933 serta Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936.

PENULISAN
Beliau banyak meninggalkan banyak tulisan yang seusia dengannya ,di anggarkan bahawa beliau telah menulis sebanyak 77 buah kitab termasuklah tafsir, feqah , hadis, nahu, soraf, tasawuf dan sebagianya sebagai contohnya:

1. Tafsir iaitu tafsir juzuk 'Amma
2. Feqah
3. Aqidah iaitu: ' Aqidah Khotib
4. Hadis iaitu : Syarah Soihih Bukhari 5 jilid
5. Bahasa Arab iaitu: Alfiyah al-Khotib 1000 matan Al-Khotib) ,
6. Syair seperti Syair sufi, pujian nabi , pujian kepada Abi Talib dan sebagianya .
7. Hikam iaitu himpunan mutiara kata Syaikh Khotib.
8. Fatwa iaitu himpunan fatwa Syaikh Khotib .
9.Himpunan kisah teladan dan kisah benar berdasar hadis nabi .
10.Risalah jihad .
11.Rahsia zikir.
12. Risalah wasilah
13.Himpunan Khutbah nabi dan kitab inilah yang telah mengangkat Syeikh Khotib di kalangan para ulamak yang memakan masa selama 15 tahun cetakan Darul fadhilah Cairo dan banyak lagi apa yang menakjubkan tentang Shikh Khotib ni belaiu mengarang lebih kurang 70 ribu bait syair.

KEMULIAANNYA

Mesranya Syeikh Mutawalli Sya'rawi dengan Syeikh Khalil Khotib

Allah mengurnaikan ratusan karomah setiap hari memadailah beliau menyembunyikan bersama Tuhan sebagimana doanya 'Ya Allah jadikanlah aku di kalangan orang yang bersunyian bersama mu dan bersunyian untuk menemui MU" Namun begitu cukuplah di ketahui umum bahawa beliau dizinkan menemui Allah semasa hayatnya. Perstiwa ini terjadi ketika anak beliau memasuki bilik ayahnya dengan tiba-tiba ayahanda berdialog dengan bahasa yang sukar dan payah untuk di fahami , lantas ia bertanya . 'Apa yang ayahanda cakap tadi ?? Syeikh Khotib menjawab ’ Sesungguhnya Aku berdialog dengan Tuhanku .

KEWAFATANNYA

Di sisi Makam beliau (dari kiri Babo Pit Baling, penjaga Makam Sidi Khalil Khotib dan al-faqir)

Beliau telah menemui Tuhannya sebelum menjelang malam Sabtu iaitu pada petang Jumaat pada 21 Februari 1986 ketika berusia 77 tahun dan di maqamkan di masjid Muhafazah atas arahan Presiden Anuar Sadat di Bandar Tanta. Sehingga kini Syeikh Khalil Khotib diberi gelaran sebagai " ULAMAK MASYHUR SAYIR RASUL.
al-Fatihah ....

Kini tugas Syeikh Khalil Khotib telah di laksanakan oleh anaknya Syeikh Mahmud pada setiap minggu selepas solat Jumaat di masjid Muhafazoh, Tanta .


Syeikh Mahmud Hafizhohullah (anak Syeikh Khalil Khotib)


Semoga Allah Taala memberkati kita semua dengan keberkatan Syeikh Khalil Khatib.
Amin Ya Rabbal 'Alamin .....

Wednesday, March 25, 2009

Antara Guru-Guru Hj Ghazali Pulai Chondong


al-'Alim al-'Allamah Syeikh Hassan Masyat R.A

al-'Alim 'Allamah Syeikh 'Alawi al-Maliki al-Hasani R.A

al-'Alim 'Allamah Syeikh Amin al-Kutbi R.A

Wahai Sidi yang tersayang

Tuan Guru Haji Ghazali

HAJI GHAZALI PULAI CHONDONG (1916 – 1969)

Seorang ulama’ besar, ahli tasawuf, anggota Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan dan pengarang kitab ialah Tuan Guru Haji Ghazali Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Beliau meninggal dunia sewaktu usia yang masih muda iaitu ketika berumur 53 tahun, pada tahun 1969 akibat diserang penyakit kencing manis. Tarikh kematiannya ialah pada 29 Oktober 1969,hari Rabu, pukul 9.30 pagi di Hospital Kota Bharu dan dikebumikan bersebelahan pusara ayahandanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pulai Chondong.

Tuan Guru Haji Ghazali ialah anak kepada pasangan Hajjah Kalsom bt. Ismail dan Haji Ismail bin Muhammad yang terkenal dengan gelaran “Tok Bangkok”. Beliau mempunyai seramai 12 orang adik-beradik. Antaranya Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, Pasir Mas dan Tuan Guru Haji Mokhtar, Kg.Siram, juga di Pasir Mas.Beliau dilahirkan di Kampung Lati, Pasir Mas kira-kira pada tahun 1916.

Selepas dibesarkan dengan didikan pengajian al-Quran, beliau belajar pula dengan Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga (abang sulungnya). Kemudian beliau menyambung pelajarannya ke Pondok Kenali, Kota Bharu belajar kepada al-Alim al-Allamah Haji Muhammad Yusof Kenali (Tok Kenali), yang ketika itu telah tua dan uzur. Tidak lama kemudian Tok Kenali meninggal dunia (1933).

Tok Kenali

Walaupun orang yang mashyur itu meninggal dunia beliau belum berpuas hati belajar, lalu pergi belajar pula kepada Haji Umar bin Ismail Nuruddin di Sungai Keladi.

Apabila berumur 18 tahun Tuan Guru Haji Ghazali belajar di Makkah al-Mukarramah selama empat tahun. Beliau pernah belajar bersama Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Sungai Durian.

ALMARHUM
TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN BIN SULAIMAN
(1923-1988)

Antara gurunya termasuklah Sayyid Alawi, Syeikh Muhammad Amin Kutbi, Syeikh Hassan Masyat, Syeikh Muhammad Shafie’ Kedah ; juga daripada Haji Abdul Salam Kubang Pasu (pengikut Sidi Muhammad al-Azhari).

Di kota Makkah jugalah beliau melangsungkan perkahwinannya yang pertama 1940, iaitu dengan Hajjah Fatimah bt. Haji Abdul Rahman yang berasal daripada Kok Lanas.Hasil perkahwinan beliau di sana, dikurniakan oleh Allah seorang cahaya mata iaitu Hasiah.

Berikutannya, beliau kembali ke Kelantan untuk berkhidmat menaburkan ilmu pengetahuannya. Pada mulanya beliau membantu abangnya (Tuan Guru Haji Ahmad) mengajar di Pondok Simpol, Tok Uban, Pasir Mas. Selanjutnya beliau membuka pondok sendiri di Kampung Kok Lanas, mengajar selama kira-kira lapan tahun iaitu sehingga tahun 1948, kemudian berpindah ke Kampung Galang, Pulai Chondong dan di sinilah pondoknya kian berkembang dan mendapat sambutan ramai.

Pada tahun 1949 beliau berkahwin pula dengan Hajjah Halimah bt. Haji Abdul Rahman. Adapun isteri awalnya, Hajjah Fatimah berpisah setelah mendapat empat orang anak iaitu Hasiah ( suri rumah ), Abdul Rashid (kerja sendiri), Mohd Amin (pegawai pendidikan) dan Mariam (suri rumah).

Tuan Guru Haji Ghazali mendapat 15 orang anak semuanya. Empat dengan isteri pertama, dua dengan isteri kedua dan sembilan dengan isteri ketiga.

Adapun anak yang ada bakat untuk mengambil tempatnya ialah anak dengan Hajjah Solehah iaitu Haji Ahmad Siuti @ Abdul Halim, walaupun masih muda tetapi berminat dengan Tariqat Ahmadiah. Beliaulah yang tampil menghidup kembali pondok peninggalan babonya itu, sekali gus dilantik menjadi Imam Masjid ar-Rahman, Mukim Kampung Galang, Pulai Chondong.

Di antara anak-anaknya yang berjaya menyambung pelajaran ke
institut-institut pengajian tinggi :

1. Mohd Amin - UKM/USA

2. Rahmah - UM

3. Mohd Mahyuddin - UKM

4. Abdul Salam - UKM/UPM

5. Salma - UKM

6. Solahuddin - USM

7. Abdul Hamid - USM

Di dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan, Tuan Guru Haji Ghazali telah mengajar kitab-kitab seperti Tafsir Jalalain, Baidhawi, Ihya’ ‘Ulumuddin, Minhaj al-‘Abidin, al-Qatani Qastalani dan lain-lain.

Beliau juga mengajar al-Quran berbalik dan pandai Qiraat Tujuh kerana beliau sempat menghafaz al-Quran dan Qiraat Tujuh dengan Haji Ismail Qurra’ di Makkah yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan.

Tuan Guru Haji Ghazali telah pergi ke Makkah kali kedua pada tahun 1951 dengan membawa isterinya Hajjah Halimah. Beliau berada selama dua tahun, tetapi Hajjah Halimah berada selama tiga musim haji. Pada tahun 1966, beliau sekali lagi pergi ke Makkah serta melawat ke Syria, ‘Iraq, Jordan dan Mesir, juga melawat ke tempat-tempat bersejarah, makam para nabi dan ‘aulia’ bersama dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahamn, Sungai Durian dan Tuan Guru Haji Wan Yusof, Kemuning.

Pada tahun 1955 beliau telah dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menjadi anggota Jemaah Ulama’ Majlis Ugama Islam Kelantan, ini kerana kebolehan dan kelayakan beliau.

Mengikut isterinya lagi, Tuan Guru Haji Gahzali tidak banyak tidur, beliau tidur jam 11.00 malam dan bangun jam 3.00 pagi untuk sembahyang sunat tahajjud dan membaca al-Ahzab Sidi Ahmad bin Idris R.A (pengasas Tariqat Ahmadiyyah). Mengajar selepas Subuh hingga pukul 11.00 pagi kemudian rehat dan mengajar lagi selepas zohor smapai asar. Lepas Asar beliau biasanya membaca al-Quran dan Aurad dan berada di mihrabnya di masjidnya.

“ Saya juga ikut dengan Ahzab Sidi Ahmad bin Idris R.A itu, saya rasa khusuk dengannya,” kata Hajjah Halimah dengan linangan air mata, seolah-olah ada sesuatu yang menyedihkan hatinya.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun meninggal dalam usia yang muda, tetapi beliau sempat menulis beberapa buah buku, antaranya ialah :

  1. Penetapan ke Alam Abadi, selesai terjemah 19 April 1966, cetakan pertama, September 1967, PustakaAman Press, Kota Bharu. Terjemahan daripada risalah karangan ibnu Aqilah. Buku ini membicarakan tentang ilmu tauhid, syurga, neraka, ahli syurga, ahli neraka dan lain-lain.
  1. Peraturan Mengambil Wuduk dan Menunaikan Sembahyang Fardhu Lima Waktu dan Doanya, digantung maknanya
    bersama-sama supaya mudah hafaz.
  1. Ada sebuah tulisan tangan dalam bidang tasawuf yang belum sempat di cetak.Sangat disayangi oleh Hajjah
    Halimah dan sukar didapati.

Walau bagaimanapun sumbangan Tuan Guru Haji Ghazali tetap besar, ramai muridnya yang berjaya menjadi mubaligh, guru-guru agama dan menyambungkan pengajaran cara pondok.