Wednesday, April 14, 2010

Daurah Aqidah Tohawiyyah

Baba Adnan di depan Baitullah

Baru-baru ini al-faqir sempat mengikuti Daurah Kitab Aqidah Tohawiyyah oleh Baba Adnan di Rumah Wilayah Persekutuan. Daurah berlangsung selama tiga hari dan sempat mengkhatamkannya....alhamdulillah. Kitab yang digunakan untuk didaurahkan ialah Mukhtasar Syarah Aqidah Tohawiyyah yang di susun oleh Dr.Umar Abdullah Kamil, cetakan Darul Ghorib.

Biodata Imam Tohawi

Beliau ialah Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad bin Salamah at-Tohawi. Beliau berasal daripada qabilah Hajr al-Ajdi Yamaniyyah, keluarganya menetap di Mesir selepas Fathul Islami.
Dilahirkan pada tahun 229 H, dinisbahkan kepada kampungnyaToha. Berkata Imam Sakhowi: Imam Tohawi dilahirkan pada malam Ahad 10 Rabi'ul Awwal tahun 238 H. Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir : at-Tohawi nisbah kepada kampungnya,salah sebuah perkampungan di Mesir.

Seorang yang faqih dalam mazhab Hanafi, mempunyai banyak karangan yang bermutu, seorang ulama' yang thiqat, Huffaz dan seorang yang pakar dan mahir, beliau merupakan anak saudara kepada Imam Muzani(anak murid Imam Shafie).

Berkata Imam Badr al-'aini : adalah umur Imam Tohawi ketika wafatnya Imam Bukhari ialah 27 tahun, ketika Imam Muslim wafat umurnya 32 tahun, ketika Imam Abu Daud wafat umurnya 46 tahun, ketika Imam Tirmizi wafat umurnya 50 tahun, ketika Imam Nasaie wafat umurnya 70 tahun, ketika Imam Ibnu Majah wafat umurnya 44 tahun, ketika Imam Ahmad bin Hanbal wafat umurnya 12 tahun dan ketika Imam Yahya ibni Ma'in wafat umurnya 4 tahun.

Antara guru-guru Imam Tohawi

Imam Tohawi mempunyai guru yang sangat ramai dan antara gurunya yang telah dihimpunkan oleh Abdul Aziz bin Tohir at-Tamimi adalah sebahagiannya, antaranya :
- Ayahandanya sendiri
- Bapa saudaranya iaitu Imam Muzani, beliau telah mendengar daripada Imam Muzani banyak dan telah meriwayatkan daripadanya Musnad Imam Shafi'e.
- Ibnu Abi 'Imran - al-Qhodi Bakkar bin Qutaibah al-Basri, beliau telah mengambil daripada kedua-duanya mazhab Imam Abi Hanifah.
- Harun bin Sa'id al-aili, iaitu guru Imam Muslim
- al-Hassan bin Abdul 'a'la as-Son'ani
- Abdul Rahman bin 'Amru ad-Dimashqi Abu Zur'ah
- Abu Yusof bin Abdul 'a'la as-Sodafi
- Abdul Hamid binAbdul Aziz al-Qhodi Abu Hazim
- dan lain-lain lagi.

Antara Anak-anak Murid Imam Tohawi

- Abu Hassan Ali bin Ahmad at-Tohawi
- Abu Muhammad Abdul Aziz at-Tamimi al-Jauhari Qhodi So'id
- Abu Qosim ad-daudi
- al-Hafiz Abu Qosim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub at-Tabrani(pengarang kitab Mu'jam)
- al-Hafiz Ahmad bin Qosim bin Abdullah al-Baghdadi di kenali sebagai Ibni Khashab
- dan lain-lain lagi.

Karangan-karangan Imam Tohawi

1. Ma'ani al-Athar
2. Sohih al-Athar
3. Mushkil al-Athar
4. Ikhtilaful 'Ulama' (lebih kurang 130 juzuk, dan diringkaskan oleh Imam Abu Bakar ar-Rozi)
5. Ahkamul Quran (20 juzuk)
6. as-Shurut al-Kabir fit Taustiq (40 juzuk)
7. Mukhtasor at-Tohawi ( Fiqh Hanafi)
8. an-Nawadir al-Fiqhiyyah (10 jilid)
9. at-Tarikh al-Kabir
10. Aqidah al-Mashhuroh (di namakan Bayan I'tidod Ahli Sunnah wal Jama'ah)

Mazhab Imam Tohawi

Mendalami Ilmu feqah Imam Tohawi di atas Imam Muzani dengan mazhab Imam Shafi'e, kemudian, beralih Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abi Hanifah. Padahal telah datang hikayat sebab beralihnya Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abu Hanifah, bukanlah sebab beralihnya kerana terpegun Imam Tohawi kepada Mazhab hanafi, akan tetapi Imam Tohawi tidak ta'sub kepada satu-satu mazhab, bahkan mereka mengikut semua mazhab yang telah di sepakati oleh ulama'.

Pendirian Imam Tohawi dengan Pemimpin

Telah berkata Raja Mesir (Abu Mansur) dikenali dengan al-Jayyar kepada Imam Tohawi :
Aku hendak menikahkan anak perempuanku kepada engkau(Imam Tohawi), berkata Imam Tohawi kepada Raja: aku tidak mahu. Maka berkata raja: adakah engkau mempunyai hajat dengan harta, kata Imam Tohawi: tidak. Berkata raja: adakah engkau mahu sebidang tanah? kata Imam Tohawi: tidak. Berkata Raja, mintalah daripadaku apa yang engkau mahukan? kata Imam Tohawi: dengarlah baik-baik apa yang aku hendak samapikan! berkata Raja: baiklah. Berkata Imam Tohawi: peliharalah agama engkau agar tidak dihancurkan, beramalah sebelum mati padahal diri engkau adalah tebusan, takutlah kamu dan jangan berbuat zalim kepada rakyat. Dikatakan bahawasanya selepas itu Raja itu tidak lagi melakukan kezaliman kepada rakyat.

Pujian ulama' kepada Imam Tohawi

Berkata Imam Badr al-'Aini : Imam Tohawi seorang yang terhimpun di atas dirinya kepercayaan, amanah dan kelebihan yang sempurna.
Berkata Abu Sa'id bin Yusof dalam kitab Tarikh Ulama' Mesir : adalah Imam Tohawi seorang
yang dipercayai,teguh pendirian, faqih dan cerdik.
Berkata al-Hafiz Maghrib Abu Amr bin Abdul Barr : Imam Tohawi berasal dari Kufah, 'alim semua mazhab feqah.

Wafat

Telah wafat Imam Tohawi pada malam Khamis bulan Zulqaedah tahun 321 H. Dikebumikan di Qorafah(kawasan perkuburan ulama'termasuk di situ Makam Imam Shafi'e, Imam Laith bin S'ad dan lain-lain). Mudah-mudahan mencucuri rahmat oleh Allah ke atasnya.

Rujukan :
1. Mukhtasar Syarah al-Aqidah at-Tohawiyyah, Darul Ghorib
2. Tuhfatul Ahbab wa Bughyatut Tullab, Imam Sakhowi

No comments: