Tuesday, June 7, 2011

ZIKRAYAT SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI


Assalamualaikum warahmatullah......

Sempena Maulid Syaikhuna Wa Murabbi Arwahuna Sayyidi Syeikh Soleh Al-Ja'fari Al-Husaini radhiallah 'anhu yang sedang berlangsung, bermula pada hari Ahad (5/6/2011) sehingga Khamis (9/6/2011), al-faqir memuatkan gambar-gambar guru kami iaitu Syeikh Soleh Al-Ja'fari untuk tatapan pembaca yang budiman. Mudah-mudahan kita dapat mengenali beliau dengan lebih jelas lagi.


SAYYIDI SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI RADHIALLAHU 'ANHU


SYEIKH SOLEH BERSAMA DENGAN DR.ABDUL HALIM MAHMUD (SYAIKHUL AZHAR PADA MASA ITU). BELIAU SERING MENZIARAHI SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI DI AZHAR


GAMBAR INI DI AMBIL OLEH SEORANG WARTAWAN DARI JERMAN DAN DIMASUKKAN DALAM SATU MAJALAH JERMAN


SYEIKH SOLEH SEDANG MENYAMPAIKAN KHUTBAH DI MASJID AL-AZHAR


SYEIKH SOLEH SEDANG MENGAJAR DI RAUHAH MASJID AL-AZHAR


BERGAMBAR BERSAMA MURIDIN SELEPAS PENGAJAIN DI MASJID AL-AZHAR


DI MAKTABAH KEPUNYAAN BELIAU


ABNA' SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI


SUASANA DI PENGAJIAN SYEIKH SOLEH PADA HARI JUMAAT, SELEPAS SOLAT JUMAAT


WARIS SYEIKH SOLEH AL-JA'FARI

dari kanan : Sidi abdul Ghani ( anak Syeikh Soleh), Sidi Muhammad, Sidi Husain dan Sidi Hassan Hafizhohumullah

Tuesday, October 12, 2010

Nasihat Imam Al-Akbar kepada Graduan Malaysia

Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib Hafizhohullahu ta'ala

Tanggal 2 Zulkaedah 1431 h bersamaan 10/10/2010 m merupakan hari yang bersejarah dalam hidup al-faqir, setelah sekian lama berada di bumi anbiya', akhirnya dapat menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, alhamdulillah...

Majlis Konvokesyen pada kali cukup bermakna kepada para graduan, kerana dihadiri sendiri oleh Syaikhul Azhar yang baru iaitu al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib danRektor Universiti al-Azhar Prof. Dr. Abdullah al-Husainy.

Di dalam majlis tersebut Syaikhul Azhar di beri peluang untuk menyampaikan ucapan dan nasihat kepada para graduan. Di antara nasihat beliau yang sempat al-faqir catat ialah :

1. Janganlah kamu jadi ulama' yang menabur fitnah, jadilah ulama' Azhar yang ikhlas dengan ilmu yang dipelajari.

2. Janganlah kamu jadi dikalangan mereka yang menyebar fitnah.

3. Istiqamah dalam menuntut ilmu dan menyebar ilmu.

4. Jadikan Azhar sebagai tempat rujukan dan panduan dalam pelbagai bidang ilmu.

5. Sentiasa menghadiri pengajian di Azhar.

6. Ikhlas dalam menuntut ilmu.

7. Berbakti kepada kedua ibubapa.

8. Sentiasa mempelajari al-Quran.

9. Sekiranya mampu sambunglah pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

bersama Us Toha bin Dato' Hassan Azhari

Al-Imam Al-Akbar di Majlis Konvokesyen

bersama graduan Kedah

bersama graduan Kelantan

Tuesday, October 5, 2010

Ziarah Ardhul Barakah


Bahnasa merupakan bumi yang penuh keberkatan. Terletak di muhafazah al-Minya selatan Mesir. Disemadikan padanya 5000 jasad sahabat2 dan tabi'in2 yang gugur syahid peperangan Fathul Islami.

Di sebelah barat Bahnasa berhampiran dengan Masjid Ali Jummam(Qhodi Bahnasa) terdapat bukit-bukit yang terdapat padanya dan sekelilingnya sebahagian besar bilangan daripada kubah-kubah dan makam-makam yang dinisbahkan kepada sahabat, tabi'in dan ulama' .

Kota Bahnasa mempunyai kelebihan yang tertentu yang di dalam buminya bersemadi 5000 orang sahabat termasuk 70 orang ahli Badar. Terdapat kelebihan dan ganjaran kepada mereka yang menziarahi bumi Bahnasa. Di antara ulama'-ulama' yang pernah menziarahi Bahnasa ialah Imam Bishrul Hafi, Imam Sirri as-Siqoti, Saidina Malik bin Dinar, Imam Fudoil bin 'iyad, Ibnu Sirin dan ramai lagi.

Di riwayatkan bahawa iklim Bahnasa terlebih banyak keberkatan daripada bumi yang lain. Saidina 'Amru bin al-'Ass berkata : sesungguhnya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam bersabda : tidak ada selepas Mekah, Madinah, Palestin dan Thur bumi yang berkat melainkan bumi Mesir, yang keberkatanya berada di sebelah barat Mesir. Berkata Saidina 'Amru bin al-Ass : bumi itu ialah Bahnasa.

Di antara mereka yang disemadikan di bumi yang berkat ini ialah :

1. Saidina Ziad bin Abi Sufian bin al-Harith bin Abdul Muttalib (ketua perang)
2. Saidina Sulaiman bin Khalid bin al-Walid
3. Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (cucu Saidina Abu Bakar as-Siddiq)
4. Sidi Fathul Bab (tabi'in)
5. Sidi Hassan bin Soleh bin Ali Zainal 'Abidin bin Husain bin Ali (cicit Saidina Husain)
6. Saidina Muhammad bin Abi Zarr al-Ghifari (anak sahabat)
7. Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi' dan banyak lagi Radhiallahu 'anhum.

Makam Saidina 'Ubaid bin 'Ubadah bin Somit (anak sahabat)

Makam Saidina Muhammad bin Abdul Rahman bin Abu Bakar (cucu Saidina Abu Bakar)

Makam Saidina Muhammad bin 'Uqbah bin Nafi'

Makam Saidina Ja'far dan Ali 'Uqail bin Abi Tolib

Friday, July 9, 2010

Di Sebalik Kisah Kitab Nahu



Diceritakan oleh Maulana Dr Fathi Abdul Rahman al-Hijazi Hafizhohullah, seorang ulama besar Azhar dan salah seorang daripada ulama Lughah di Mesir, tentang karangan kitab nahu yang masyhur iaitu kitab التحفة السنية بشرح المقدمة الآجرومية di karang oleh seorang ulama besar dalam bidang lughah satu ketika dahulu, iaitu al-'Allamah Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid Rahmatullah 'alaihi.

al-'Allamah Syeikh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid Rahmatullah 'alaihi

Syeikh Muhyiddin Rahmatullah 'alaihi merupakan salah seorang daripada pensyarah di Universiti al-Azhar satu ketika dahulu dan merupakan Rais Qisim Lughah Arabiyyah di Universiti al-Azhar. Beliau merupakah salah seorang guru kepada Maulana Dr.Fathi Hafizhohullah. Maulana Dr.Fathi Hafizhohullah semasa dalam pengajiannya sering kali menyebut nama tokoh yang ternama ini (Syaikhuna Syeikh Muhyiddin). Banyak kitab2 lughah yang sempat Dr.Fathi mengaji dengan beliau.

Ceritanya bermula apabila Syeikh Muhyiddin di jemput oleh Raja Farok (Raja Mesir) ke istana baginda untuk menghadiri majlis baginda. Berlakunya di sana perkara yang tidak disenangi oleh Raja Farok, yang telah dilakukan oleh Syeikh Muhyiddin, kerana Syeikh Muhyiddin tidak sangat mengikut protokol istana yang terlalu ketat.

Peristiwa tersebut menyebabkan Syeikh Muhyiddin di tukar oleh Raja Farok ke Ma'had Sanawi al-Azhari (Sekolah Menengah) , yang mana beliau sebelum ini menjadi Rais Qisim Lughah Arabiyyah di Universiti al-Azhar. Hasil daripada pertukaran beliau mengajar di Ma'had al-Azhari, mula tercetus idea untuk mengarang kitab التحفة السنية بشرح المقدمة الآجرومية untuk pelajar di sekolah Ma'had al-Azhari. Oleh kerana ikhlasnya usaha Syeikh Muhyiddin, kitab beliau digunakan oleh pelbagai lapisan, bukan untuk pelajar Ma'had al-Azhari sahaja bahkan kitab ini diguna pakai seluruh dunia islam.

al-'Allamah Dr.Fathi Abdul Rahman al-Hijazi sedang mengajar kitab Syarah Ibnu 'Aqil di Jamie' al-Azhar. Dikatakan di sini jugalah tempat Syeikh Muhyiddin Abdul Hamid pernah mengajar.

رضى الله تعالى عن الشيخ محمد محى الدين عبد الحميد وعلماء الأزهر وغيرهم وأرضاهم ونفعنا الله بعلومهم وبركاتهم وأسرارهم آمين

Tuesday, May 18, 2010

Pengertian Madad


Suatu hari di majlis pengajian Sayyidi Syeikh Soleh Ja'fari Radhiallahu 'anhu di Masjid Azhar, tiba-tiba bersuara seorang lelaki tentang madad, ya syeikh telah menegah oleh guruku tentang berkata "madad ya Rasulullah", lalu jawab Syeikh Soleh :

Apa makna madad yang engkau faham ?

Ketika engkau pergi kepada seorang yang 'alim dan berkata engkau di hadapannya madad; maksudnya ajarkan aku.
Ketika engkau berkata kepada seorang wali, madad; maksudnya engkau meminta kepada wali itu doakan kebaikan.
Ketika engkau berkata juga, Madad Ya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam; maksudnya engkau meminta ampun wahai pesuruh Allah.

Kesimpulannya

Kalimah madad sepatutnya mesti mengetahui kepada mereka yang kita tujukan, samada wali atau orang 'alim atau Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam dan kepada siapa yang kita tujukan.
Maka hendaklah kita faham wahai saudaraku tentang makna madad yang sebenarnya. Ia bukan satu kalimah yang syirik, padahal madad adalah harus dengan bahawasanya kita faham maksud asalnya. Kita berkata Madad Ya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam; maksudnya kita pohonkan dan panjatkan dengan shafa'at dan memohon ampun daripada Rasulullah Sollahu 'alaihi wasllam. Dan perkara ini adalah harus.
Wallahu a'lam.

Rujukan :
1) Kitab al-Fatawa wal Ajwibah al-Ja'fariyyah
2) Majalah an-Nur al-Muhammadi

Wednesday, April 14, 2010

Daurah Aqidah Tohawiyyah

Baba Adnan di depan Baitullah

Baru-baru ini al-faqir sempat mengikuti Daurah Kitab Aqidah Tohawiyyah oleh Baba Adnan di Rumah Wilayah Persekutuan. Daurah berlangsung selama tiga hari dan sempat mengkhatamkannya....alhamdulillah. Kitab yang digunakan untuk didaurahkan ialah Mukhtasar Syarah Aqidah Tohawiyyah yang di susun oleh Dr.Umar Abdullah Kamil, cetakan Darul Ghorib.

Biodata Imam Tohawi

Beliau ialah Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad bin Salamah at-Tohawi. Beliau berasal daripada qabilah Hajr al-Ajdi Yamaniyyah, keluarganya menetap di Mesir selepas Fathul Islami.
Dilahirkan pada tahun 229 H, dinisbahkan kepada kampungnyaToha. Berkata Imam Sakhowi: Imam Tohawi dilahirkan pada malam Ahad 10 Rabi'ul Awwal tahun 238 H. Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir : at-Tohawi nisbah kepada kampungnya,salah sebuah perkampungan di Mesir.

Seorang yang faqih dalam mazhab Hanafi, mempunyai banyak karangan yang bermutu, seorang ulama' yang thiqat, Huffaz dan seorang yang pakar dan mahir, beliau merupakan anak saudara kepada Imam Muzani(anak murid Imam Shafie).

Berkata Imam Badr al-'aini : adalah umur Imam Tohawi ketika wafatnya Imam Bukhari ialah 27 tahun, ketika Imam Muslim wafat umurnya 32 tahun, ketika Imam Abu Daud wafat umurnya 46 tahun, ketika Imam Tirmizi wafat umurnya 50 tahun, ketika Imam Nasaie wafat umurnya 70 tahun, ketika Imam Ibnu Majah wafat umurnya 44 tahun, ketika Imam Ahmad bin Hanbal wafat umurnya 12 tahun dan ketika Imam Yahya ibni Ma'in wafat umurnya 4 tahun.

Antara guru-guru Imam Tohawi

Imam Tohawi mempunyai guru yang sangat ramai dan antara gurunya yang telah dihimpunkan oleh Abdul Aziz bin Tohir at-Tamimi adalah sebahagiannya, antaranya :
- Ayahandanya sendiri
- Bapa saudaranya iaitu Imam Muzani, beliau telah mendengar daripada Imam Muzani banyak dan telah meriwayatkan daripadanya Musnad Imam Shafi'e.
- Ibnu Abi 'Imran - al-Qhodi Bakkar bin Qutaibah al-Basri, beliau telah mengambil daripada kedua-duanya mazhab Imam Abi Hanifah.
- Harun bin Sa'id al-aili, iaitu guru Imam Muslim
- al-Hassan bin Abdul 'a'la as-Son'ani
- Abdul Rahman bin 'Amru ad-Dimashqi Abu Zur'ah
- Abu Yusof bin Abdul 'a'la as-Sodafi
- Abdul Hamid binAbdul Aziz al-Qhodi Abu Hazim
- dan lain-lain lagi.

Antara Anak-anak Murid Imam Tohawi

- Abu Hassan Ali bin Ahmad at-Tohawi
- Abu Muhammad Abdul Aziz at-Tamimi al-Jauhari Qhodi So'id
- Abu Qosim ad-daudi
- al-Hafiz Abu Qosim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub at-Tabrani(pengarang kitab Mu'jam)
- al-Hafiz Ahmad bin Qosim bin Abdullah al-Baghdadi di kenali sebagai Ibni Khashab
- dan lain-lain lagi.

Karangan-karangan Imam Tohawi

1. Ma'ani al-Athar
2. Sohih al-Athar
3. Mushkil al-Athar
4. Ikhtilaful 'Ulama' (lebih kurang 130 juzuk, dan diringkaskan oleh Imam Abu Bakar ar-Rozi)
5. Ahkamul Quran (20 juzuk)
6. as-Shurut al-Kabir fit Taustiq (40 juzuk)
7. Mukhtasor at-Tohawi ( Fiqh Hanafi)
8. an-Nawadir al-Fiqhiyyah (10 jilid)
9. at-Tarikh al-Kabir
10. Aqidah al-Mashhuroh (di namakan Bayan I'tidod Ahli Sunnah wal Jama'ah)

Mazhab Imam Tohawi

Mendalami Ilmu feqah Imam Tohawi di atas Imam Muzani dengan mazhab Imam Shafi'e, kemudian, beralih Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abi Hanifah. Padahal telah datang hikayat sebab beralihnya Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abu Hanifah, bukanlah sebab beralihnya kerana terpegun Imam Tohawi kepada Mazhab hanafi, akan tetapi Imam Tohawi tidak ta'sub kepada satu-satu mazhab, bahkan mereka mengikut semua mazhab yang telah di sepakati oleh ulama'.

Pendirian Imam Tohawi dengan Pemimpin

Telah berkata Raja Mesir (Abu Mansur) dikenali dengan al-Jayyar kepada Imam Tohawi :
Aku hendak menikahkan anak perempuanku kepada engkau(Imam Tohawi), berkata Imam Tohawi kepada Raja: aku tidak mahu. Maka berkata raja: adakah engkau mempunyai hajat dengan harta, kata Imam Tohawi: tidak. Berkata raja: adakah engkau mahu sebidang tanah? kata Imam Tohawi: tidak. Berkata Raja, mintalah daripadaku apa yang engkau mahukan? kata Imam Tohawi: dengarlah baik-baik apa yang aku hendak samapikan! berkata Raja: baiklah. Berkata Imam Tohawi: peliharalah agama engkau agar tidak dihancurkan, beramalah sebelum mati padahal diri engkau adalah tebusan, takutlah kamu dan jangan berbuat zalim kepada rakyat. Dikatakan bahawasanya selepas itu Raja itu tidak lagi melakukan kezaliman kepada rakyat.

Pujian ulama' kepada Imam Tohawi

Berkata Imam Badr al-'Aini : Imam Tohawi seorang yang terhimpun di atas dirinya kepercayaan, amanah dan kelebihan yang sempurna.
Berkata Abu Sa'id bin Yusof dalam kitab Tarikh Ulama' Mesir : adalah Imam Tohawi seorang
yang dipercayai,teguh pendirian, faqih dan cerdik.
Berkata al-Hafiz Maghrib Abu Amr bin Abdul Barr : Imam Tohawi berasal dari Kufah, 'alim semua mazhab feqah.

Wafat

Telah wafat Imam Tohawi pada malam Khamis bulan Zulqaedah tahun 321 H. Dikebumikan di Qorafah(kawasan perkuburan ulama'termasuk di situ Makam Imam Shafi'e, Imam Laith bin S'ad dan lain-lain). Mudah-mudahan mencucuri rahmat oleh Allah ke atasnya.

Rujukan :
1. Mukhtasar Syarah al-Aqidah at-Tohawiyyah, Darul Ghorib
2. Tuhfatul Ahbab wa Bughyatut Tullab, Imam Sakhowi

Saturday, April 10, 2010

Pengajian Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini

Semalam (Jumaat malam Sabtu 9 april 2010 bersamaan 24 Rabi'ul Akhir 1431 h) al-faqir,Baba Adnan dan kawan-kawan sempat menghadiri pengajian kitab al-Awail as-Sunbuliyyah bersama al-Muhaddis Misr Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini Hafizhohullahu ta'ala, di masjid ayahandanya di Iskandariyyah. Pengajian diadakan sejurus selepas majlis zikir, yang pada malam sabtu kebiasaannya beliau mengadakan majlis zikir bersama ikhwan tariqatnya yang di pimpin oleh beliau sendiri. Insyaallah pengajian kitab ini akan berterusan sampai minggu hadapan.


Pengenalan Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.

anak kepada penyusun kitab al-Awail as-Sunbuliyyah (Syeikh Muhammad Tahir as-Sunbul)

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah :

- anak beliau sendiri, Muhammad Tahir as-Sunbul (1218H)
- Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (1194H)
- Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (1182H)
- Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (1192H)
- Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (1205H)
- Muhammad al-Murtadha al-Zabidi (1205H) dan lain-lain lagi.

Latarbelakang Kitab

Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Imam Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain.

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut; Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah.


manuskrip kitab al-Awail as-Sunbuliyyah