Thursday, May 21, 2009

Seminggu Sudah Berlalu ....

Segala puji bagi Allah Ta'ala yang tidak terhingga atas nikmat dan kurniaanNya kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya. Manusia dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagaimana yang telah digariskan dalam al-Quran. Betapa besarnya nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada sebaik-baik ciptaan, namun hanya segolongan kecil sahaja yang menghargai nikmat yang tidak seberapa ini berbanding dengan nikmat yang terlebih besar lagi iaitu nikmat Iman dan Islam.

Sedar tak sedar sudah hampir seminggu al-Faqir mengikuti kelas pengajian Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani (mantan Mufti Kanada). Inilah nikmat yang tidak terhingga yang dikurniakan oleh Allah kepada al-Faqir, dengan kesihatan dan masa yang dianugerahakan oleh Allah tidak disia-siakan, walaupun sibuk dengan imtihan dan pengajian-pengajian yang lain. Namun kalau kita pandai mengurus masa dengan baik, insyaallah setiap perkara yang hendak kita lakukan akan mengikut jadual yang telah disusunkan. Apa yang terlebih penting, biaralah setiap urusan yang hendak kita lakukan diredhai oleh Allah Ta'ala. Sebab itulah kita perlu sertainya dengan berdoa ke HadratNya, sebagaimana doa yang terdapat dalam Aurad at-Tariqah al-Ja'fariyyah bagi Syeikh Soleh Ja'fari Radiallahuanhu (pengasas Tariqat al-Ja;fariyyah) :

اللهم دبر لي فاني لا أحسن التدبير

maksudnya : Ya Allah Uruskanlah urusanku, maka sesungguhnya aku tidak pandai mengurus.

Pengajian yang telah diadakan oleh Syeikh Yusof benar-benar menyentuh perasaan al-Faqir. Sebelum ini al-Faqir hanya mendengar saja nama Syeikh Yusof, tidak pernah mengikuti sepenuhnya kelas yang diadakan oleh beliau. Kali ini memang terasa ingin mengenali Syeikh Yusof secara dekat. Kata-katanya bagaikan seorang ayah mendidik anak. Setiap kali sebelum beliau mula mengajar, beliau akan memberi nasihat kepada anak-anak didiknya.

Di sini al-Faqir memperkenalkan kepada sidang pembaca yang budiman tentang biodata Shaikhuna Syeikh Yusof al-Hasani hafizohullah.


NAMA:
Sheikh As-Syarif Dr. Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani. Beliau berketurunan Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husein r.a., kedua-dua cucu kesayangan Rasulullah s.a.w.

KELAHIRAN DAN KEHIDUPAN BELIAU:
Beliau dilahirkan di Aka, Lubnan. Kini, beliau tinggal di Lubnan dan Kanada.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN BELIAU:
Pada awalnya, beliau menuntut di Lubnan. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajiannya di Institut Fiqh (Islamic Study) pada tahun 1974 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda. Beliau juga turut mengambil pengajian Sarjana Muda di Al-Azhar dan tamat pada tahun yang sama, dalam bidang Al-Syariah wa Al-Qonun.

Beliau melanjutkan Ijazah Sarjana di Al-Azhar dalam bidang Al-Syariah wal Qonun dan tamat pada tahun 1989. Seterusnya, beliau dianugerahkan ijazah Kedoktoran (Ph.D) Kerhormat daripada Universiti Islam Lubnan pada tahun 1991.

ANTARA GURU-GURU BELIAU:
Beliau mengambil tarbiah sufiyah secara khusus dari As-Sheikh Al-Mursyid Sidi Abdul Qadir Isa r.a. yang merupakan mursyid bagi Tarikat As-Syazuliyah Ad-Darqowiyah.

Sidi Sheikh Abdul Qadir Isa r.a

Setelah dilihat kelayakan Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani, dalam memikul tugas sebagai mursyid, maka Sidi Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. memberi izin wirid 'am dan khas tarikat As-Syazuliyah dan izin irsyad dan tarbiah kepada beliau. Sheikh Yusuf merupakan khalifah Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. yang termuda dari kalangan keempat-empat khalifah beliau.

Sheikh Muhammad Al-Hasyimi Radiallahu 'Anhu

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah dibawa oleh Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. untuk bertemu dengan guru beliau sendiri iaitu Sheikh Muhammad Al-Hasyimi. Sheikh Muhammad Al-Hasyimi turut memberi izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah kepada Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani r.a..

Sheikhuna Yusuf Al-Hasani bersahabat dengan Sheikh Abdul Qadir Isa sehinggalah ke hujung hayat Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Setelah kewafatan Sheikh Abdul Qadir Isa r.a., Sheikhuna Yusuf juga turut mencari mursyid lain sebagai tabarruk dan merasakan diri masih lagi memerlukan tarbiah dari seorang mursyid, walaupun pada ketika itu, beliau sudahpun mendapat izin sebagai seorang mursyid.

Sheikh Sa'duddin Murod (tengah)

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tabarruk dari Sheikh Sa'duddin Murod, yang merupakan khalifah utama Sheikh Abdul Qadir Isa r.a.. Sheikh Sa'duddin Murod turut memberikan kepada Shiekh Yusuf Al-Hasani izin tarbiah khalwah dan izin wirid am dan khas tarikat As-Syazuliyah.
Bukan sekadar itu sahaja, malah Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani turut menemui Sheikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf untuk mengambil bai'ah tarikat daripada beliau seterusnya menjadi murid beliau. Sheikh Abdul Qadir As-Saggaf lantas memberi kepada Sheikhuna Yusuf Al-Hasani, izin irsyad tarikat As-Syazuliyah, kerana melihat keahlian yang dimiliki oleh Sheikhuna Yusuf.

Sheikh Al-Habib Abdul Qadir As-Saggaf

Di samping itu juga, Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani mengambil bai'ah tarikat daripada beberapa mursyid tarikat berlainan lantaran itu, turut menerima izin irsyad dari mursyid-mursyid tarikat tersebut.
Antara mursyid-mursyid tersebut adalah:
1.Sheikh Soleh Farfur (tarikat As-Syazuliyah juga)
2.Sheikh Sayyid Muhammad bin Sayyid 'Alawi Al-Maliki (tarikat Alawiyah)
3.Sheikh Uthman Sirajuddin An-Naqsyabandi (tarikat An-Naqsyabandiyah)
4.Sheikh Muhammad Na'im Al-Jailani Al-Asyarafi (tarikat Al-Qadiriyah)
5.Sheikh Muhammad Zaki Ad-Din Ibrahim (tarikat Asyirah Muhammadyah)

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani juga meriwayatkan hadis-hadis musalsal dan sanad-sanad hadis dan ilmu agama secara umum dari Sheikh Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki r.a. dan Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim.


AKTIVITI-AKTIVITI BELIAU:

- Pengarah Yayasan Islam Kanada, di Hamilton, Kanada pada tahun 1981 sehingga hari ini.
- Pensyarah di Universiti Islam Lubnan
- Ahli Jawatan Kuasa Majlis Fatwa Lubnan
- Anggota Majlis Ulama' di Syria
- Seorang pendakwah peringkat antarabangsa (Syam, Kanada, Mesir, Jepun dan Asia Tenggara)
- Mursyid atau Sheikh Tarikat Al-Asyirah Al-Muhammadiyah di Hamiton, Kanada
- Murobbi Tasauf khususnya dalam Tarikat Syazuliyah, Qadiriyah, Naqsyabandiyah, Darqowiyah, Alawiyah dan sebagainya.
- Pengasas Dar El-Hasani Center, iaitu tempat perhimpunan anak-anak murid beliau di Mesir.
-Penasihat Kehormat Institut Pngajian Ar-Razi, Pulau Pinang, Malaysia.

al-Fatihah buat Shaikhuna Syeikh Yusof al-Hasani, semoga Allah Ta'ala memeliharaya.


bersama Syeikh yusof di Ma'rad Kitab

No comments: