Wednesday, March 25, 2009

Wahai Sidi yang tersayang

Tuan Guru Haji Ghazali

HAJI GHAZALI PULAI CHONDONG (1916 – 1969)

Seorang ulama’ besar, ahli tasawuf, anggota Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan dan pengarang kitab ialah Tuan Guru Haji Ghazali Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Beliau meninggal dunia sewaktu usia yang masih muda iaitu ketika berumur 53 tahun, pada tahun 1969 akibat diserang penyakit kencing manis. Tarikh kematiannya ialah pada 29 Oktober 1969,hari Rabu, pukul 9.30 pagi di Hospital Kota Bharu dan dikebumikan bersebelahan pusara ayahandanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pulai Chondong.

Tuan Guru Haji Ghazali ialah anak kepada pasangan Hajjah Kalsom bt. Ismail dan Haji Ismail bin Muhammad yang terkenal dengan gelaran “Tok Bangkok”. Beliau mempunyai seramai 12 orang adik-beradik. Antaranya Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, Pasir Mas dan Tuan Guru Haji Mokhtar, Kg.Siram, juga di Pasir Mas.Beliau dilahirkan di Kampung Lati, Pasir Mas kira-kira pada tahun 1916.

Selepas dibesarkan dengan didikan pengajian al-Quran, beliau belajar pula dengan Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga (abang sulungnya). Kemudian beliau menyambung pelajarannya ke Pondok Kenali, Kota Bharu belajar kepada al-Alim al-Allamah Haji Muhammad Yusof Kenali (Tok Kenali), yang ketika itu telah tua dan uzur. Tidak lama kemudian Tok Kenali meninggal dunia (1933).

Tok Kenali

Walaupun orang yang mashyur itu meninggal dunia beliau belum berpuas hati belajar, lalu pergi belajar pula kepada Haji Umar bin Ismail Nuruddin di Sungai Keladi.

Apabila berumur 18 tahun Tuan Guru Haji Ghazali belajar di Makkah al-Mukarramah selama empat tahun. Beliau pernah belajar bersama Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Sungai Durian.

ALMARHUM
TUAN GURU HAJI ABDUL RAHMAN BIN SULAIMAN
(1923-1988)

Antara gurunya termasuklah Sayyid Alawi, Syeikh Muhammad Amin Kutbi, Syeikh Hassan Masyat, Syeikh Muhammad Shafie’ Kedah ; juga daripada Haji Abdul Salam Kubang Pasu (pengikut Sidi Muhammad al-Azhari).

Di kota Makkah jugalah beliau melangsungkan perkahwinannya yang pertama 1940, iaitu dengan Hajjah Fatimah bt. Haji Abdul Rahman yang berasal daripada Kok Lanas.Hasil perkahwinan beliau di sana, dikurniakan oleh Allah seorang cahaya mata iaitu Hasiah.

Berikutannya, beliau kembali ke Kelantan untuk berkhidmat menaburkan ilmu pengetahuannya. Pada mulanya beliau membantu abangnya (Tuan Guru Haji Ahmad) mengajar di Pondok Simpol, Tok Uban, Pasir Mas. Selanjutnya beliau membuka pondok sendiri di Kampung Kok Lanas, mengajar selama kira-kira lapan tahun iaitu sehingga tahun 1948, kemudian berpindah ke Kampung Galang, Pulai Chondong dan di sinilah pondoknya kian berkembang dan mendapat sambutan ramai.

Pada tahun 1949 beliau berkahwin pula dengan Hajjah Halimah bt. Haji Abdul Rahman. Adapun isteri awalnya, Hajjah Fatimah berpisah setelah mendapat empat orang anak iaitu Hasiah ( suri rumah ), Abdul Rashid (kerja sendiri), Mohd Amin (pegawai pendidikan) dan Mariam (suri rumah).

Tuan Guru Haji Ghazali mendapat 15 orang anak semuanya. Empat dengan isteri pertama, dua dengan isteri kedua dan sembilan dengan isteri ketiga.

Adapun anak yang ada bakat untuk mengambil tempatnya ialah anak dengan Hajjah Solehah iaitu Haji Ahmad Siuti @ Abdul Halim, walaupun masih muda tetapi berminat dengan Tariqat Ahmadiah. Beliaulah yang tampil menghidup kembali pondok peninggalan babonya itu, sekali gus dilantik menjadi Imam Masjid ar-Rahman, Mukim Kampung Galang, Pulai Chondong.

Di antara anak-anaknya yang berjaya menyambung pelajaran ke
institut-institut pengajian tinggi :

1. Mohd Amin - UKM/USA

2. Rahmah - UM

3. Mohd Mahyuddin - UKM

4. Abdul Salam - UKM/UPM

5. Salma - UKM

6. Solahuddin - USM

7. Abdul Hamid - USM

Di dalam usaha mengembangkan ilmu pengetahuan, Tuan Guru Haji Ghazali telah mengajar kitab-kitab seperti Tafsir Jalalain, Baidhawi, Ihya’ ‘Ulumuddin, Minhaj al-‘Abidin, al-Qatani Qastalani dan lain-lain.

Beliau juga mengajar al-Quran berbalik dan pandai Qiraat Tujuh kerana beliau sempat menghafaz al-Quran dan Qiraat Tujuh dengan Haji Ismail Qurra’ di Makkah yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan.

Tuan Guru Haji Ghazali telah pergi ke Makkah kali kedua pada tahun 1951 dengan membawa isterinya Hajjah Halimah. Beliau berada selama dua tahun, tetapi Hajjah Halimah berada selama tiga musim haji. Pada tahun 1966, beliau sekali lagi pergi ke Makkah serta melawat ke Syria, ‘Iraq, Jordan dan Mesir, juga melawat ke tempat-tempat bersejarah, makam para nabi dan ‘aulia’ bersama dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahamn, Sungai Durian dan Tuan Guru Haji Wan Yusof, Kemuning.

Pada tahun 1955 beliau telah dilantik oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menjadi anggota Jemaah Ulama’ Majlis Ugama Islam Kelantan, ini kerana kebolehan dan kelayakan beliau.

Mengikut isterinya lagi, Tuan Guru Haji Gahzali tidak banyak tidur, beliau tidur jam 11.00 malam dan bangun jam 3.00 pagi untuk sembahyang sunat tahajjud dan membaca al-Ahzab Sidi Ahmad bin Idris R.A (pengasas Tariqat Ahmadiyyah). Mengajar selepas Subuh hingga pukul 11.00 pagi kemudian rehat dan mengajar lagi selepas zohor smapai asar. Lepas Asar beliau biasanya membaca al-Quran dan Aurad dan berada di mihrabnya di masjidnya.

“ Saya juga ikut dengan Ahzab Sidi Ahmad bin Idris R.A itu, saya rasa khusuk dengannya,” kata Hajjah Halimah dengan linangan air mata, seolah-olah ada sesuatu yang menyedihkan hatinya.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun meninggal dalam usia yang muda, tetapi beliau sempat menulis beberapa buah buku, antaranya ialah :

  1. Penetapan ke Alam Abadi, selesai terjemah 19 April 1966, cetakan pertama, September 1967, PustakaAman Press, Kota Bharu. Terjemahan daripada risalah karangan ibnu Aqilah. Buku ini membicarakan tentang ilmu tauhid, syurga, neraka, ahli syurga, ahli neraka dan lain-lain.
  1. Peraturan Mengambil Wuduk dan Menunaikan Sembahyang Fardhu Lima Waktu dan Doanya, digantung maknanya
    bersama-sama supaya mudah hafaz.
  1. Ada sebuah tulisan tangan dalam bidang tasawuf yang belum sempat di cetak.Sangat disayangi oleh Hajjah
    Halimah dan sukar didapati.

Walau bagaimanapun sumbangan Tuan Guru Haji Ghazali tetap besar, ramai muridnya yang berjaya menjadi mubaligh, guru-guru agama dan menyambungkan pengajaran cara pondok.

3 comments:

Unknown said...

Salam man, teruskan usaha Man!

WAN HAMIDI said...

bagus penulisan tentang datuk saya ni, teruskan man..

askeasy said...

alhamdulillah...usaha man sebegini amat bagus sekali. gandakan usaha untuk kumpul segala khazanah2 & cerita2 mulut org2 tua di kg galang...semoga boleh menjadi tatapan generasi kita kini dan anak2 kita nanti. Syabas, man