Tuesday, May 18, 2010

Pengertian Madad


Suatu hari di majlis pengajian Sayyidi Syeikh Soleh Ja'fari Radhiallahu 'anhu di Masjid Azhar, tiba-tiba bersuara seorang lelaki tentang madad, ya syeikh telah menegah oleh guruku tentang berkata "madad ya Rasulullah", lalu jawab Syeikh Soleh :

Apa makna madad yang engkau faham ?

Ketika engkau pergi kepada seorang yang 'alim dan berkata engkau di hadapannya madad; maksudnya ajarkan aku.
Ketika engkau berkata kepada seorang wali, madad; maksudnya engkau meminta kepada wali itu doakan kebaikan.
Ketika engkau berkata juga, Madad Ya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam; maksudnya engkau meminta ampun wahai pesuruh Allah.

Kesimpulannya

Kalimah madad sepatutnya mesti mengetahui kepada mereka yang kita tujukan, samada wali atau orang 'alim atau Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam dan kepada siapa yang kita tujukan.
Maka hendaklah kita faham wahai saudaraku tentang makna madad yang sebenarnya. Ia bukan satu kalimah yang syirik, padahal madad adalah harus dengan bahawasanya kita faham maksud asalnya. Kita berkata Madad Ya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam; maksudnya kita pohonkan dan panjatkan dengan shafa'at dan memohon ampun daripada Rasulullah Sollahu 'alaihi wasllam. Dan perkara ini adalah harus.
Wallahu a'lam.

Rujukan :
1) Kitab al-Fatawa wal Ajwibah al-Ja'fariyyah
2) Majalah an-Nur al-Muhammadi

Wednesday, April 14, 2010

Daurah Aqidah Tohawiyyah

Baba Adnan di depan Baitullah

Baru-baru ini al-faqir sempat mengikuti Daurah Kitab Aqidah Tohawiyyah oleh Baba Adnan di Rumah Wilayah Persekutuan. Daurah berlangsung selama tiga hari dan sempat mengkhatamkannya....alhamdulillah. Kitab yang digunakan untuk didaurahkan ialah Mukhtasar Syarah Aqidah Tohawiyyah yang di susun oleh Dr.Umar Abdullah Kamil, cetakan Darul Ghorib.

Biodata Imam Tohawi

Beliau ialah Imam Abu Jaafar Ahmad bin Muhammad bin Salamah at-Tohawi. Beliau berasal daripada qabilah Hajr al-Ajdi Yamaniyyah, keluarganya menetap di Mesir selepas Fathul Islami.
Dilahirkan pada tahun 229 H, dinisbahkan kepada kampungnyaToha. Berkata Imam Sakhowi: Imam Tohawi dilahirkan pada malam Ahad 10 Rabi'ul Awwal tahun 238 H. Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir : at-Tohawi nisbah kepada kampungnya,salah sebuah perkampungan di Mesir.

Seorang yang faqih dalam mazhab Hanafi, mempunyai banyak karangan yang bermutu, seorang ulama' yang thiqat, Huffaz dan seorang yang pakar dan mahir, beliau merupakan anak saudara kepada Imam Muzani(anak murid Imam Shafie).

Berkata Imam Badr al-'aini : adalah umur Imam Tohawi ketika wafatnya Imam Bukhari ialah 27 tahun, ketika Imam Muslim wafat umurnya 32 tahun, ketika Imam Abu Daud wafat umurnya 46 tahun, ketika Imam Tirmizi wafat umurnya 50 tahun, ketika Imam Nasaie wafat umurnya 70 tahun, ketika Imam Ibnu Majah wafat umurnya 44 tahun, ketika Imam Ahmad bin Hanbal wafat umurnya 12 tahun dan ketika Imam Yahya ibni Ma'in wafat umurnya 4 tahun.

Antara guru-guru Imam Tohawi

Imam Tohawi mempunyai guru yang sangat ramai dan antara gurunya yang telah dihimpunkan oleh Abdul Aziz bin Tohir at-Tamimi adalah sebahagiannya, antaranya :
- Ayahandanya sendiri
- Bapa saudaranya iaitu Imam Muzani, beliau telah mendengar daripada Imam Muzani banyak dan telah meriwayatkan daripadanya Musnad Imam Shafi'e.
- Ibnu Abi 'Imran - al-Qhodi Bakkar bin Qutaibah al-Basri, beliau telah mengambil daripada kedua-duanya mazhab Imam Abi Hanifah.
- Harun bin Sa'id al-aili, iaitu guru Imam Muslim
- al-Hassan bin Abdul 'a'la as-Son'ani
- Abdul Rahman bin 'Amru ad-Dimashqi Abu Zur'ah
- Abu Yusof bin Abdul 'a'la as-Sodafi
- Abdul Hamid binAbdul Aziz al-Qhodi Abu Hazim
- dan lain-lain lagi.

Antara Anak-anak Murid Imam Tohawi

- Abu Hassan Ali bin Ahmad at-Tohawi
- Abu Muhammad Abdul Aziz at-Tamimi al-Jauhari Qhodi So'id
- Abu Qosim ad-daudi
- al-Hafiz Abu Qosim Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub at-Tabrani(pengarang kitab Mu'jam)
- al-Hafiz Ahmad bin Qosim bin Abdullah al-Baghdadi di kenali sebagai Ibni Khashab
- dan lain-lain lagi.

Karangan-karangan Imam Tohawi

1. Ma'ani al-Athar
2. Sohih al-Athar
3. Mushkil al-Athar
4. Ikhtilaful 'Ulama' (lebih kurang 130 juzuk, dan diringkaskan oleh Imam Abu Bakar ar-Rozi)
5. Ahkamul Quran (20 juzuk)
6. as-Shurut al-Kabir fit Taustiq (40 juzuk)
7. Mukhtasor at-Tohawi ( Fiqh Hanafi)
8. an-Nawadir al-Fiqhiyyah (10 jilid)
9. at-Tarikh al-Kabir
10. Aqidah al-Mashhuroh (di namakan Bayan I'tidod Ahli Sunnah wal Jama'ah)

Mazhab Imam Tohawi

Mendalami Ilmu feqah Imam Tohawi di atas Imam Muzani dengan mazhab Imam Shafi'e, kemudian, beralih Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abi Hanifah. Padahal telah datang hikayat sebab beralihnya Imam Tohawi kepada mazhab Imam Abu Hanifah, bukanlah sebab beralihnya kerana terpegun Imam Tohawi kepada Mazhab hanafi, akan tetapi Imam Tohawi tidak ta'sub kepada satu-satu mazhab, bahkan mereka mengikut semua mazhab yang telah di sepakati oleh ulama'.

Pendirian Imam Tohawi dengan Pemimpin

Telah berkata Raja Mesir (Abu Mansur) dikenali dengan al-Jayyar kepada Imam Tohawi :
Aku hendak menikahkan anak perempuanku kepada engkau(Imam Tohawi), berkata Imam Tohawi kepada Raja: aku tidak mahu. Maka berkata raja: adakah engkau mempunyai hajat dengan harta, kata Imam Tohawi: tidak. Berkata raja: adakah engkau mahu sebidang tanah? kata Imam Tohawi: tidak. Berkata Raja, mintalah daripadaku apa yang engkau mahukan? kata Imam Tohawi: dengarlah baik-baik apa yang aku hendak samapikan! berkata Raja: baiklah. Berkata Imam Tohawi: peliharalah agama engkau agar tidak dihancurkan, beramalah sebelum mati padahal diri engkau adalah tebusan, takutlah kamu dan jangan berbuat zalim kepada rakyat. Dikatakan bahawasanya selepas itu Raja itu tidak lagi melakukan kezaliman kepada rakyat.

Pujian ulama' kepada Imam Tohawi

Berkata Imam Badr al-'Aini : Imam Tohawi seorang yang terhimpun di atas dirinya kepercayaan, amanah dan kelebihan yang sempurna.
Berkata Abu Sa'id bin Yusof dalam kitab Tarikh Ulama' Mesir : adalah Imam Tohawi seorang
yang dipercayai,teguh pendirian, faqih dan cerdik.
Berkata al-Hafiz Maghrib Abu Amr bin Abdul Barr : Imam Tohawi berasal dari Kufah, 'alim semua mazhab feqah.

Wafat

Telah wafat Imam Tohawi pada malam Khamis bulan Zulqaedah tahun 321 H. Dikebumikan di Qorafah(kawasan perkuburan ulama'termasuk di situ Makam Imam Shafi'e, Imam Laith bin S'ad dan lain-lain). Mudah-mudahan mencucuri rahmat oleh Allah ke atasnya.

Rujukan :
1. Mukhtasar Syarah al-Aqidah at-Tohawiyyah, Darul Ghorib
2. Tuhfatul Ahbab wa Bughyatut Tullab, Imam Sakhowi

Saturday, April 10, 2010

Pengajian Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini

Semalam (Jumaat malam Sabtu 9 april 2010 bersamaan 24 Rabi'ul Akhir 1431 h) al-faqir,Baba Adnan dan kawan-kawan sempat menghadiri pengajian kitab al-Awail as-Sunbuliyyah bersama al-Muhaddis Misr Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kattani al-Husaini Hafizhohullahu ta'ala, di masjid ayahandanya di Iskandariyyah. Pengajian diadakan sejurus selepas majlis zikir, yang pada malam sabtu kebiasaannya beliau mengadakan majlis zikir bersama ikhwan tariqatnya yang di pimpin oleh beliau sendiri. Insyaallah pengajian kitab ini akan berterusan sampai minggu hadapan.


Pengenalan Kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.

anak kepada penyusun kitab al-Awail as-Sunbuliyyah (Syeikh Muhammad Tahir as-Sunbul)

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah :

- anak beliau sendiri, Muhammad Tahir as-Sunbul (1218H)
- Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (1194H)
- Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (1182H)
- Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (1192H)
- Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (1205H)
- Muhammad al-Murtadha al-Zabidi (1205H) dan lain-lain lagi.

Latarbelakang Kitab

Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Imam Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain.

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut; Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah.


manuskrip kitab al-Awail as-Sunbuliyyah

Thursday, April 8, 2010

Perginya Seorang Ulama Bererti Hilanglah Sebahagian Ilmu


Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما meriwayatkan sebuah hadis:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Pagi tadi (Ahad 4 April 2010 bersamaan 19 Rabi'ul Akhir 1431) selepas melakukan wirid harian sebagai seorang hamba Allah, al-faqir menerima panggilan daripada Habib Sayyid Umar bin Habib Zain (anak Habib Zain Smith) beliau mengatakan bahawa telah perginya seorang waliyullah yang selama ini sentiasa mendoakan umat Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wasallam iaitu Baqiyatus Salaf wa Sayyidul Khalaf, al-Quthub al-Iman al-Allamah al-Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin 'Abdurrahman as-Saqqaf (1331/1913 - 1431/2010) pagi tadi di Jeddah. Khabar sedih yang mengugah hati. Bukan sahaja makhluk di bumi menangisinya, bahkah penduduk langit. Allahu Allah .....
Tiada musibah yang lebih besar daripada perginya seorang ulama yang arifbillah, faqih, murabbi, mursyid ...... Allahu Allah ....

Sayyiduna Abu Darda رضي الله عنه berkata:

Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya) : Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit.


Nama beliau ialah Habib Abdul Qadir bin Ahmad bin Abdul Rahman bin 'Ali bin 'Umar bin
Saqqaf bin Muhammad bin 'Umar bin Toha As-Saqqaf yang bersambung nasab keturunan kepada Saidina Rasulullah s.a.w. Dilahirkan di bandar Saiun,Yaman pada bulan Jamadil Akhir tahun 1331 hijrah. Dibesarkan dalam keluarga kedua-dua ibu bapanya dari kalangan orang yang soleh. Ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman merupakan pendakwah di jalan Allah,manakala bondanya pula Sayyidah As-Syarifah Alawiyah binti Al-Habib Ahmad bin Muhammad Al-Jufri.

Habib Abdul Qadir memulakan pengajian dengan Al-Habib Toha bin 'Umar di bandar kelahirannya. Di sana beliau mula mempelajari beberapa pengajian selain dari ayahandanya tercinta.

Antara guru-guru beliau yang disebutkan pada pengijazahan kepada sebahagian muridnya:
-Ayahandanya Habib Ahmad bin Abdul Rahman As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Hamid bin 'Umar As-Saqqaf
-Habib 'Umar bin Abdul Qadir bin Ahmad As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Idrus Al-'Idrus
-Habib Abdullah bin 'Alawi Al-Habasyi,anaknya Habib Husain
-Habib Abdul Bari bin Syeikh Al-'Idrus
-Habib Muhammad bin Hadi As-Saqqaf
-Habib Abdullah bin 'Umar bin Hamid As-Saqqaf
-Habib Hasan bin Ismail bin Syeikh Abi Bakr bin Salim
-Habib Hamid bin 'Alawi Al-Bar dan ramai lagi.

Selepas kewafatan ayahandanya, Habib Ahmad bin Abdul Rahman tahun 1357, beliau telah
mula menggerakkan kelas pengajian bagi menyebarkan amanah ilmu Allah kepada masyarakat ketika itu berusia 21 tahun.

Ayah Habib Abdul Qodir as-Saqqaf

Takdir Allah, tidak lama kemudian berlaku perubahan iklim politik di utara Yaman apabila golongan fahaman sosialis mengambil alih kuasa di sana. Puak sosialis ini telah mengenakan tekanan yang amat dahsyat kepada para pendakwah Islam dan para ulamak, lebih-lebih mereka yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, tidak terkecuali Habib Abdul Qadir. Beliau telah diminta sentiasa melaporkan diri pada waktu pagi dan petang setiap hari di balai polis berdekatan.

Akan tetapi berkat kesabarannya, Allah telah memberikannya jalan keluar dari genggaman golongan sosialis tadi apabila salah seorang yang berkedudukan dalam pentadbiran telah mengeluarkan beliau ke wilayah bernama 'Adan pada bulan Rabi'ul Awal tahun 1393 hijrah.Beliau menetap di sana untuk beberapa bulan sebelum dipermudahkan untuk keluar negara berhijrah ke Singapura. Di sana beliau diberikan sambutan yang menggalakkan. Pada bulan Jamadil Awal, beliau berangkat ke negara Indonesia dan turut menerima sambutan yang baik ketika majlis bersama beliau diadakan sama ada di Jakarta, Kepulauan Sulu dan Surabaya.

Dari Indonesia, beliau kemudian berhijrah ke negara Saudi. Di sana bukanlah tempat yang asing kerana sebelumnya beliau telah menunaikan haji sebanyak 6 kali.

Sebelum beliau menetap di sana, Habib Abdul Qadir telah menziarahi negara lain dengan tujuan berdakwah antaranya ke Lubnan, Syria, Mesir, Nairubi, Kenya, Tanzania, kemudian kembali ke Kenya untuk satu tempoh yang panjang.

Sekembalinya ke Saudi pada tahun 1394 hijrah, beliau telah menetap di Jeddah. Di rumahnya,beliau telah mengadakan majlis pengajian di rumah beliau setiap hari dengan pelbagai kitab dari ilmu Hadith,Tasawuf,Sirah dan lain-lain lagi, selain pengajian beliau yang akan berlangsung secara mingguan dengan berpindah tempat dari satu tempat ke tempat yang lain.

Menjelang sambutan maulid atau perayaan dalam Islam, Habib Abdul Qadir akan dijemput bagi menghuraikan dan mengupas berkaitan sambutan tersebut. Selain itu, menjelang bulan Ramadhan, beliau akan mengadakan majlis pengajian di rumahnya yang disertai sejumlah besar tetamu yang ingin mengambil intipati ilmu dari beliau.

Antara kehebatan beliau juga, beliau menguasai ilmu Sastera dan Syair Arab sejak kecil. Beliau memiliki beberapa qasidah yang menunjukkan ketinggian ilmu dalam ilmu Bayan, Badie' (dalam ilmu Balaghah) dan 'Arudh.

Selayaknya diceritakan juga, kecintaan dalam hati manusia kepada beliau dari pelbagai bangsa, sama ada mereka yang jauh atau dekat, mereka yang sehaluan atau yang
suka menentang. Sepertimana dapat dilihat dengan jelas pada majlis pengajian beliau,
kehadiran dari pelbagai bangsa dan warna kulit akan tetapi memiliki pemikiran dan tujuan yang satu.


Sebelum ini, sesiapa yang bertandang ke bumi Mekkah bagi menunaikan haji, umrah atau
ziarah tidak pernah lupa untuk singgah di rumah beliau mengikuti majlis pengajian bersama beliau. Tambahan bagi para ulamak, menziarahi beliau merupakan satu kemestian. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, majlis pengajian bersama beliau sudah tiada lagi setelah beliau ditimpa keuzuran. Setelah lebih separuh abad hidupnya diwakafkan di jalan Allah, tentunya ramai anak-anak didik beliau yang kini berada di serata dunia bagi mengembangkan ilmu Allah kepada manusia. Antara mereka ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad bin 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani yang telah pergi menghadap Allah lebih awal dari beliau.
Kepada roh beliau, Al-Fatihah...


Antara doa Habib Abdul Qadir as-Saqqaf :

Tuesday, March 9, 2010

ZIARAH MAKAM AULIA' DI SYARQIYYAH

Lokasi 1

Makam al-'Arif Billah Dr. Abdul Halim Mahmud Radiallahu 'anhu

Pintu masuk makam Dr.Abdul Halim Mahmud

Beliau di lahirkan pada tahun 1910 M. Dr Abdul Halim Mahmud merupakan salah seorang Syeikhul Azhar, sezaman dengan Sayyidi Syeikh Soleh al-Ja'fari R.a dan merupakan kawan rapat dengan Syeikh Soleh. Beliau juga sentiasa menghadiri majlis pengajian Syeikh Soleh di Masjid al-Azhar. Mempunyai banyak kitab hasil karangannya terutama dalam bidang tasawwuf. Beliau berpendapat bahawa tasawwuf adalah satu jalan dan ikutan yang membawa kita sampai kepada ma'rifah. Adalah Dr. Abdul Halim Mahmud seorang sufi, pendakwah, guru, murabbi dan Syeikhul Azhar. Pada zaman beliau menjadi Syeikhul Azhar bertambahnya pusat-pusat pengajian seperti ma'had-ma'had dan universiti. Beliau radiallahu 'anhu wafat pada tahun 1978 dan di semadikan di Qaryah as-Salam, Bilbis.

Kubah Makam Dr.Abdul Halim Mahmud, disebelahnya proses pembinaan masjid beliau


Pemandangan dari dalam : makam Dr.Abdul Halim Mahmud


Lambang simbol 'imamah(serban) azhar turut diletakkan di dalam makam

Ramai-ramai baca Surah Yaasin dan Madaih an-Nabawiyyah di sisi makam


Bergambar bersama orang tempatan di sana, Pakcik yang berserban tu yang tolong buka pintu makam kat kami, kalau tidak kerana dia tak boleh masuk lah kami.

Lokasi 2

Makam Sidi Ibrahim Abu Khalil Radiallahu 'anhu

al-'Arifubillah Syeikh Ibrahim Muhammad Khalil

Beliau ialah as-Syarif Ibrahim Ibnu Saadah al-Asyraf Muhammad bin Khalil bin Ibrahim bin Ismail sehinggalah nasabnya bersambung kepada Sayyidina Husain bin Imam 'Ali daripada Sayyidah Fatimah az-Zahra' binti Maulana Sayyidina Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam.
Ayahnya Sayyidi Muhammad Abu Khalil pengasas Tariqat Khaliliyyah, yang mana beliau merupakan nasab keturunan Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam. Di lahirkan di Madinah Zaqoziq pada tahun 1872 M. Beliau di tarbiyah sendiri oleh ayahnya dengan penuh ketaqwaan. Menghafal al-Quran semenjak kecil lagi dan bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu al-Quran, sehingga apabila beliau membaca al-Quran beliau akan menangis. Mengambil tariqat dengan ayahnya. Setelah mana ayahnya wafat, beliau mengambil alih menjadi syeikh tariqat al-Khaliliyyah. Syeikh Ibrahim Abu Khalil merupakan imam, guru tasawwuf dan syeikh bagi Tariqat Khaliliyyah, menggantikan ayahandanya. Mempunyai banyak karangannya seperti kitab al-Wasilah, as-Syafa'ah, al-Bayan fi Maulid dan lain-lain lagi. Syeikh Ibrahim Abu Khalil wafat pada hari Jumaat 9 Disember 1988 M dan jasad beliau disemadikan bersebelahan dengan makam ayahnya di Masjid Syeikh Abu Khalil.

Masjid Syeikh Ibrahim Khalil


Makam Syeikh Ibrahim Khalil


Pejabat Operasi Tariqat Khaliliyyah


Mendengar sedikit penerangan mengenai Tariqat Khaliliyyah daripada Syeikh Tariqat Khaliliyyah iaitu Syeikh Muhammad Mahmud Ibrahim Abu Khalil Hafizhohullah


Bergambar bersama Syeikh Tariqat Khaliliyyah di pejabatnya

Lokasi 3

Makam Sayyidi al-Imam Yahya al-Mutawwij bil-Anwar Radiallahu 'anhu


Beliau ialah Ahli Bait Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam Sayyidina al-Imam Yahya al-Mutawwij bil-Anwar bin Sayyidina Imam Hasan al-Anwar bin Sayyidina Imam Zaid al-Ablaj bin Sayyidina Imam Hassan as-Sibti bin Sayyidina Imam 'Ali bin Abi Talib bin Sayyidah Fatimah al-Zahra' binti Sayyidina Maulana Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam.

Merupakan abang kepada Ummul 'Ulum Sayyidah Nafisah Radiallahu 'anha. Di lahirakan Sidi Yahya di Mekah pada 25 Rbi'ul Awwal 140 H. Menetap beberapa ketika semasa beliau masih kecil di Madinah bersama ayahandanya al-Imam Hassan al-Anwar.Sidi Yahya sentiasa melazimi menziarahi datuknya Rasulullah Sollahu 'alaihi wasallam. Adalah ayahandanya merupakan gabenor di Madinah. Bertalaqi al-Quran ketika umurnya 14 tahun. Di gelar dengan Yahya al-Mutawwij bil-Anwar kerana beliau mendapat haibah dan berkat yang telah diwarisi daripada nur datuknya Sollahu 'alaihi wasallam.

Pada tahun 194 M tibanya Sayyidina Yahya di Mesir bersamanya beberapa orang sahabatnya. Telah pergi Imam Yahya daripada bandar Bilbis ke Kaherah untuk melihat ayahandanya Sidi Hassan al-Anwar, adindanya Sayyidah Nafisah dan anakandanya as-Syarifah Zainab al-Jauharah al-Shugra, yang mana anakandanya telah di jaga oleh adindanya Sayyidah Nafisah. Beliau menetap di Kaherah selama 10 tahun. Sempat berjumpa dengan Imam Syafi'e Radiallahu 'anhu dan banyak mengaji dengan Imam Syafi'e. Ketika Imam Syafie wafat, Sidi Yahya hadir solat jenazah pada tahun 204 H.

Ketika Sidi Yahya berada di Kaherah selama 10 tahun, beliau selalu berualang alik dari Bilbis ke
Kaherah semata-mata untuk menziarahi kawan-kawannya dan ibundanya as-Syarifah Ummu Salamah yang ketika itu sakit tenat. Ketika Sidi Yahya balik dari Kaherah ke Bilbis, di pertengahan jalan beliau melalui di satu kampung yang di beri nama Ghar Din, yang mana menetapnya dua orang bapa saudaranya.

Telah syahid Sidi Yahya, keluarganya dan sahabatnya di kampung Ghar Din selepas berlakunya peperangan di antara Sidi Yahya dan musuh yang menentang Ahli Bait pada ketika itu. Di kebumikan mereka yang Syahid di kampung tersebut termasuk Sidi Yahya pada bulan Rabi'ul Awwal 206 H, ketika umurnya 66 tahun.

Mudah-mudahan Allah merahmati dan memberkati ke atas kamu wahai Ahli Bait Rasulullah Sollahi 'alaihi wasallam.

Pintu masuk makam Sidi Yahya


Makam anak perempuan Sidi Yahya as-Syarifah Zainab al-Jauharah al-Shugra


Membaca madaih di sisi makam Sidi Yahya


Kubah yang terdapat dalam makam Sidi Yahya ... sungguh cantik


Di sisi makam Sidi Yahya al-Mutawwij (dari kiri Umar, al-Faqir, Solahuddin, Hayyi dan Rodhi)


bertawassul di sisi makam Sidi Yahya, mudah-mudahan najah imtihan tahun ini


Di luar makam Sidi Yahya, sedih rasanya nak tinggalkan tempat ini ...


Wednesday, November 25, 2009

Petua Menyembelih Binatang

Di antara petua-petua menyembelih binatang :

1. Supaya daging tidak berlemak:
- Ada wudhu’ ketika sembelih binatang.
- Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
- Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
- Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.

2. Supaya daging binatang menjadi lembut :
- Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang.
- Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau.
- Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan.

3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk :

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحَمْدُ

اللّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ

4. Selesai sembelih binatang maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.

5. Baca ayat ini supaya mencukup atau memadai daging bagi setiap jamuan :

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ

6.Hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.

7. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati.

*Di antara pantang larang :
Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya
boleh membawa kepada daging menjadi keras.

*Petua ini diamalkan oleh Tuan Guru Hj Hashim Mudir Pondok Pasir Tumboh*

Tuan Guru Hj Hashim Hafizhohullah

keadaan Ayah Sin (Tok Guru Hj.Hashim) sekarang.
al-Fatihah kepada Tuan Guru Hj.Hashim semoga Allah Taala memanjangkan umur beliau.


p/s : jangan lupa pula adab-adab dan syarat-syarat yang telah di tetapkan oleh syara'.

Di ambil daripada laman ini : http://albakriah.wordpress.com/2009/11/24/petua-sembelih-binatang/

Friday, July 24, 2009

Ziarah Sidi Ibrahim ad-Dusuki R.anhu

Tanggal 1 Julai lalu, para pencinta Syeikh Soleh Jaafari r.anhu bersama abna' Malaysia mengadakan lawatan dan menziarahi maqam wali qutub yang agung, Sayyidi Ibrahim Dusuqi r.anhu. Jaulah yang melibatkan dua muhafazah iaitu Kafr Syeikh dan Iskandariah itu diadakan selama sehari suntuk dengan dimulai dengan maqam Sayyidi Ibrahim Dusuqi. Masjid dan maqam beliau yang terletak di bandar Dasuq, muhafazah Kafr Syeikh itu memakan masa hampir tiga jam dari Kaherah. Perjalanan dengan tremco ke muhafazah tersebut tidak sunyi dengan bacaan madih dan pujian terhadap Rasulullah s.a.w. Setibanya kami di masjid beliau yang mulia, bacaan madih dan selawat sekali lagi bergema di maqam beliau. Bersebelahan maqam beliau bersemadinya jasad saudaranya. Rangka tulang buaya yang terlibat dengan peristiwa masyhur yang dikaitkan dengan Sayyidi Ibrahim Dusuqi masih disimpan berhampiran maqamnya. Ceritanya satu hari seorang kanak-kanak ditelan buaya ketika bermain-main di sungai. Lalu ibu kanak-kanak tadi mengadu kejadian tersebut kepada Sayyidi Ibrahim lalu beliau bergegas ke sungai dan memerintahkan supaya buaya yang memakan kanak-kanak tadi supaya timbul. Dengan izin Allah, buaya tadi timbul lalu Sayyidi Ibrahim minta buaya tadi mengeluarkan kanak-kanak tadi dari perutnya. Buaya tadi dengan kuasa Allah menurut perintah lalu selepas dikeluarkan mayat kanak-kanak tadi Sayyidi Ibrahim berkata, "Sekarang matilah kamu wahai buaya dengan izin Allah," Lalu buaya tadi pun mati. Tulang buaya tadi masih selamat tersimpan dalam maqam tersebut. Sayyidi Ibrahim dilahirkan pada tahun 653 hijrah dan meninggal dunia ketika berusia 43 tahun pada tahun 696 hijrah. Beliau juga dikatakan wali Allah yang meninggal dunia dalam keadaan sujud dalam solat.

Berhampiran maqam kedua-dua wali tersebut terdapat kesan tapak tangan mulia Baginda Rasulullah s.a.w. Kami turut membacakan qasidah "Marhaban Haza Nabi" sambil mereka yang hadir mengucup mengambil berkat pada kesan tapak tangan tersebut.

Lawatan kami ke berakhir dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustaz Khairil Anuar Saleh yang turut menyertai jaulah pada hari itu. Bacaan doa diaminkan oleh kami di hadapan kesan tapak tangan tersebut mengambil pandangan dari para ulamak yang menyebut mustajab doa di sisi tempat mempunyai kesan peninggalan Rasulullah s.a.w. Sebelum ini jaulah kami ke Masjid Sultan Qaitbai di Kaherah juga ketika menziarahi kesan dua tapak kaki mulia Baginda Rasulullah s.a.w di masjid tersebut.

Jaulah kami pada hari itu agak istimewa dengan pergerakan kami dikawal oleh anggota polis dari cawangan Dasuq. Mereka turut mengiringi kenderaan kami sewaktu perjalanan keluar dari bandar Dasuq menuju ke bandar Iskandariah bagi meneruskan ziarah kami ke maqam auliya' seterusnya.

Di hadapan pintu masuk Masjid Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki R.anhu


ruang solat utama Masjid Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki


di sisi Makam Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki


di sisi Makam Sayyidi Ibrahim ad-Dusuki terdapatnya bekas tapak tangan Rasulullah Sollahu 'Alahi Wasallam yang mulia